Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook

GOMBAK – Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia (JLM), Kapten Mohamad Halim Ahmed diarah bercuti sementara kesnya sedang dibicarakan di mahkamah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dalam tempoh tersebut, Mohamad Halim tidak akan melaporkan diri untuk bertugas sehingga kes dihadapinya selesai.

“Ketua Pengarah Laut JLM telah mengambil cuti tetapi doktrin beliau tidak bersalah sehingga didapati bersalah terpakai. Tetapi sebagai penjawat awam beliau telah diminta bercuti dan mengosongkan pejabatnya sementara kes masih berjalan di mahkamah, beliau juga tidak akan melaporkan diri utk bertugas,” katanya.

Beliau berkata demikian program pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan Dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran & Ekspres) di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak hari ini.

Pada 1 Ogos lalu, Ketua Pengarah Laut JLM, Kapten Mohamad Halim Ahmed didakwa di atas pertuduhan menipu berhubung surat pengecualian kepada syarikat perkapalan untuk membawa minyak gred berat di perairan negara tanpa kelulusan Menteri Pengangkutan empat tahun lepas.

Mohamad Halim, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Halim didakwa telah menipu bekas Ketua Pengarah JLM, Datuk Baharin Abdul Hamid apabila memperdayakan dengan mengemukakan Surat Kementerian Pengangkutan bertarikh 27 Oktober 2020.

Berdasarkan surat tersebut, Menteri Pengangkutan pada 22 Oktober 2020 telah memutuskan supaya tempoh bagi syarikat-syarikat perkapalan yang telah diberikan pengecualian untuk membawa heavy grade oil di dalam perairan negara ini perlu dikekalkan mengikut tarikh yang telah diluluskan sedangkan tiada kelulusan sedemikian.

Seterusnya, telah menyebabkan Baharin telah mengeluarkan pengecualian kepada syarikat-syarikat perkapalan yang berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Ibu Pejabat JLM, Pelabuhan Klang pada 27 Oktober 2020.

Sabit kesalahan, Mohamad Halim boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette