Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Aedy Fadly Ramli hadir ke Program Pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan Dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran & Ekspres) Bersama JPJ di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak KM25, Lebuhraya Karak, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL

GOMBAK – Lebih 19,000 kenderaan termasuk bas persiaran dan ekspres diperiksa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Bersepadu sejak 2 Julai sehingga 31 Julai lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dalam operasi tersebut sebanyak 667 bas telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Operasi Khas Bersepadu memfokuskan kepada semua bas persiaran dan ekspres berada dalam keadaan selamat serta pemandu yang mempunyai lesen kompeten dan kenderaan yang mematuhi semua peruntukan undang-undang ditetapkan.

“Hasil pemeriksaan daripada 2,547 pemandu bas persiaran dan ekspres, seramai 26 pemandu telah positif dadah.

“Sebanyak 19,456 kenderaan diperiksa; 667 diambil tindakan; 14 buah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); 1,600 notis mengikut JPJ P22, Seksyen 61 (1) Seksyen 59 dan lain-lain.

“Dalam operasi ini, pihak JPJ dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah melakukan saringan ujian air kencing ke atas pemandu bas persiaran dan ekspres,” katanya.

Beliau berkata demikian program pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan Dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran & Ekspres) di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak, di sini hari ini.

Tambah Anthony, JPJ juga melaksanakan Operasi Khas Kenderaan Perdagangan yang memfokuskan kenderaan perkhidmatan barangan dan awam.

Ia berkaitan kesalahan teknikal, kesalahan lalu lintas serta kesalahan-kesalahan utama yang bermula sejak 1 Ogos lalu hingga 31 Ogos 2024.

“Hasil dapatan sejak 1 Ogos hingga 5 Ogos, menunjukkan seramai 21 orang pemandu dikesan positif dadah, ia hasil pemeriksaan saringan ujian air kencing ke atas 276 orang pemandu kenderaan perdagangan dalam tempoh lima hari operasi tersebut dijalankan.

“Ini bermakna dalam setiap 13 orang pemandu terdapat seorang yang berada di bawah pengaruh dadah apabila menjalankan tugas iaitu memandu di jalan raya. Ini adalah keadaan yang amat membimbangkan,” jelasnya.

Tegasnya, JPJ tidak akan berkompromi dengan para pemandu-yang tidak kompeten dalam mengendalikan kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam.

“Pemandu-pemandu kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam yang didapati positif dadah boleh dikenakan tindakan dibawah Seksyen 36 iaitu kuasa untuk menggantung lesen memandu penagih dadah.

“Syarikat pengangkutan yang terbabit juga akan diambil tindakan penguatkuasaan yang tegas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat yang boleh membawa kepada penggantungan dan pembatalan lesen pengendali.

“Kepada semua pemilik dan pemandu kenderaan pelancongan, perkhidmatan awam dan perdagangan dinasihatkan supaya sentiasa bertanggungjawab untuk mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” ujarnya.

Tambah beliau, langkah tersebut bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya seterusnya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast