MELAKA – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan pistol tiruan Mei lalu.
Tertuduh OKU fizikal tulang belakang, Mohamad Firdaus Md Nor, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, dia bersama-sama yang telah dituduh dengan niat telah melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan sepucuk pistol tiruan dan melarikan wang tunai sebanyak RM550 milik Kevin Fong Tze Weng, 39.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai menjual barang serbaneka di Jalan TPH 1 Taman Tambak Paya Harmoni dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira pukul 7.21 malam pada 6 Mei lalu.
Sabit kesalahan hendaklah dipenjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan sebarang jaminan namun mencadangkan RM30,000 atas budi bicara mahkamah serta syarat-syarat tambahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah jaminan rendah dengan alasan merupakan OKU fizikal, mempunyai tiga orang anak berusia tujuh, enam dan satu tahun yang ditanggung isteri.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah tidak membenarkan tertuduh yang merupakan bekas pekerja penghantar barang dijamin kerana tiada penjamin yang hadir.
Mahkamah menetapkan 23 September depan untuk serahan dokuman dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette