Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berucap pada Himpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 6 OGOS 2024

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf daripada Meta susulan tindakan platform media sosial itu menurunkan kandungan daripada Facebook rasminya, 30 Julai lalu.

Perkara itu disampaikan melalui Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menghubungi beliau semalam sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim di Johor sempena pasca mesyuarat Kabinet.

“Saya ada berhubung dengan Perdana Menteri, beliau sendiri mengambil maklum permohonan maaf daripada pihak Meta.

“Perdana Menteri memaklumkan sahabat-sahabat beliau yang berada di Timur Tengah telah membaca berita tersebut, bermaksud sampai ke seantero dunia

“Jadi Perdana Menteri menerima permohonan maaf itu dan dalam masa sama kita harap kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Khamis lalu, media melaporkan Perdana Menteri menyifatkan tindakan Meta menurunkan ucapan takziah dan kritikan atas pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyah daripada laman Facebook dan Instagram sebagai biadab serta menghina perjuangan rakyat Palestin.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu tidak masuk akal apabila menganggap hantaran untuk menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah air sendiri daripada kezaliman, sebagai berbahaya.

Menurut Fahmi, beliau meminta Meta berhubung dengan pejabat Perdana Menteri untuk memberikan apa-apa maklumat terkini tentang garis panduan sekiranya berubah.

“Saya dimaklumkan garis panduan bagi Meta khusus mengenai isu-isu geopolitik, ia akan berubah dari semasa ke semasa, kadang-kala dimaklumkan, kadang-kala tidak dimaklumkan.

“Sebagai contoh pada satu ketika perkataan syahid juga tidak dibenarkan dalam Meta.

“Tapi kami telah dimaklumkan akibat usaha yang dipelopori pasukan Meta yang kami jumpa semalam, perkataan-perkataan seperti syahid kini tidak menjadi isu, satu ketika dahulu jadi isu, sebab Meta mungkin mereka tidak faham,” katanya.

Fahmi turut meminta Meta memastikan Perdana Menteri diberikan taraf sama taraf dengan ketua-ketua kerajaan lain di seluruh dunia.

“Jangan ada bagi sesetengah negara, diperlakukan sedemikian rupa, bagi sesetengah negara lain diberikan laluan emas, jangan ada dwi standard dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, Fahmi memberitahu, Meta mempunyai satu badan bebas yang akan meneliti apa-apa aduan ataupun rayuan yang dibuat terhadap mana-mana kandungan yang telah diturunkan.

“Jadi label tersebut telah disarankan oleh badan bebas tersebut, bukan pihak Meta sendiri, ini telah dimaklumkan kepada saya dan saya berpandangan itu cara mereka,” katanya.

Selain itu, kata Fahmi, Meta turut mengakui kelemahan mereka dengan memberi alasan kesilapan itu berlaku kerana mereka kini terpaksa menguruskan 3.2 bilion akaun Facebook di seluruh dunia.

“Kenapa kandungan PM dari Mei diturunkan sekali, ini saya dapati pihak Meta tidak dapat menjawabnya dengan baik.

“Saya telah menyatakan rasa kesal bahawa seorang jurutera Meta tidak hadir dalam mesyuarat semalam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette