Malaysia diundi menentang Filipina dalam aksi Pestabola Merdeka 2024 September ini.

KELANA JAYA – Skuad Kebangsaan Harimau Malaya diundi menentang pasukan Filipina dalam Kejohanan Piala Pestabola Merdeka 2024.

Ia merupakan tugas pertama skuad yang dikemudi pemangku Ketua Jurulatihnya Pau Marti Vicente selepas Ketua Jurulatihnya Kim Pan Gon meletakkan jawatannya pada Julai lalu atas faktor peribadi.

Pestabola Merdeka edisi ke-41 kali ini bakal menjadi medan terbaik untuk skuad kebangsaan mendapatkan semula rentaknya di atas padang selepas gagal mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Dalam majlis undian yang diadakan di Wisma FAM, empat pasukan bersama tuan rumah Malaysia mengesahkan penyertaan dalam edisi ke-43 kali ini.

Tiga pasukan luar yang mengesahkan penyertaan mereka adalah juara bertahan 2023 Tajikistan, Lubnan dan Filipina dalam temasya yang bakal membuka tirai di Stadium Nasional Bukit Jalil 4 September depan.

Dalam proses undian yang diadakan di Wisma FAM Kelana Jaya petang tadi, skuad kebangsaan diundi menentang Filipina dalam perlawanan pertama yang akan bermula jam 9 malam.

Manakala Tajikistan juara bertahan edisi lepas akan bertemu tetamu baharunya Lubnan pada 4 September depan dalam aksi pembukaan jam 4.30 petang hari yang sama.

Manakala Perlawanan penentuan tempat ketiga berlangsung jam 4.30 petang 8 September depan dan perlawanan akhir juga akan diadakan hari sama jam 9 malam.

Bercakap kemudian dalam sidang media, Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya akan melancarkan promosi Pestabola Merdeka 2024 di Pasar Raya AeonBig di Subang serta Larian Pestabola Merdeka pada 1 September depan.

Malah katanya, pasukan kebangsaan juga akan turun dengan misi muncul juara kejohanan pada edisi kali ini selepas gagal merealisasikannya pada 2023 apabila kalah kepada Tajikistan yang muncul juara julung kali.

“Musim lalu Malaysia mahu rangkul kejuaraan itu tetapi tewas kepada Tajikistan, walaupun begitu kali ini kita tetap mensasarkan muncul juara pada edisi kali ini.

“Malah,ketiga tiga pasukan luar yang beraksi pada edisi kali ini juga gagal mara dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 maka Pestabola Merdeka edisi kali ini akan menjadi medan untuk memanfaatkan peluang menambah mata ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Selain itu, ia juga akan menjadi platform terbaik untuk skuad kebangsaan membuat persiapan menghadapi Piala AFF Mitsubishi 2024 dan kelayakan secara merit ke Piala Asia 2027 pada Disember ini,” katanya.

Beliau juga optimis dan berjanji FAM akan cuba menarik lebih ramai pasukan luar dan terkuat untuk beraksi dalam Pestabola Merdeka pada masa akan datang.

“Walaupun tidak akan ada kenaikan ketara dari sudut ranking FIFA, kita akan cuba mendapatkan seberapa banyak mungkin pasukan terkuat jika boleh pasukan ranking bawah 100 seperti era 80-an (lebih 16 pasukan).

“Kita perlu mengambil pendekatan berani pilih pasukan terkuat  dan jemput mereka beraksi dalam Pestabola Merdeka serta perlawanan persahabatan pada masa akan datang kerana mahu menjaga prestij piala itu yang merupakan kejohanan tertua di Asia Tenggara dan pendedahan kualiti kepada pasukan kita.

“Dulu banyak negara Eropah dan juga dari Afrika misalnya Senegal pernah beraksi dalam Pestabola Merdeka dan kualiti perlawanan berprestij ini yang kita akan berusaha untuk kembalikan semula selepas ini,” ujarnya.

Selain itu beliau juga mengesahkan pengadil luar negara akan ditugaskan mengadili perlawanan Pestabola Merdeka kali ini.

Katanya selaku tuan rumah beliau tidak mahu Malaysia menjadi tuan rumah syok sendiri menganjurkan kejohanan tersebut.

“Untuk menunjukkan kita lebih telus dan integriti maka kita akan menurunkan pengadil luar negara untuk Pestabola Merdeka pada edisi kali ini,” ujar beliau.

Noor Azman (kiri)

Jualan Tiket Pestabola Merdeka akan dibuka rasminya bermula esok 7 Ogos 2024 dan akan dijual dalam bentuk pakej untuk kesemua empat perlawanan dengan harga RM70 untuk tempat duduk terbuka.

Sementara, tiket biasa bukan kombo pula akan dibuka jualannya pada 21 Ogos depan sehingga hari perlawanan bermula.

FAM mengenakan bayaran tiket RM40 untuk dewasa dan RM5 pula untuk kanak-kanak berusia antara 6 hingga 12 tahun bagi tempat duduk terbuka di dalam stadium.

Manakala, tiket tempat duduk grandstand pila dijual pada Harga RM60 seorang sementara tiket tempat duduk premium pula dijual pada kadar RM80 seorang. – MalaysiaGazette