Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR – Tiada perebutan kerusi antara Parti Amanah Negara (Amanah) dan UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, apa yang berlaku adalah disebabkan pendirian gabungan Pakatan Harapan (PH) berdasarkan prinsip sebelum ini bahawa parti yang menyandang kerusi berkenaan meletakkan calon pada pilihan raya.

“Tiada perebutan (babitkan Amanah dan UMNO). Ini perbincangan. Biasalah, perkara biasa.

“Tapi kita sudah nyatakan pendirian kita (berdasarkan kepada prinsip parti yang menyandang),” katanya selepas Program Pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini, hari ini.

Terdahulu, Amanah Kluang mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada PRK DUN Mahkota.

Ketuanya, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, ia berikutan parti berkenaan pernah memenangi kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.

Namun katanya, jika UMNO Johor selaku tonggak utama kerajaan negeri bersedia memberi jawatan dalam kerajaan negeri termasuk sebagai Ahli Majlis, ketua kampung dan ketua masyarakat, Amanah bersedia memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi DUN Mahkota.

Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambrose dilapor menyifatkan tindakan Amanah menuntut kerusi DUN Mahkota, sebagai gelojoh dan tamak.

Noor Azleen berkata, Amanah juga dilihat tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris kepada penyandang kerusi DUN itu, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang baru meninggal dunia pada Jumaat lalu. – MalaysiaGazette