Mayat wanita warga emas ditemui rentung di dalam sebuah apartmen di Taman Paramout, semalam. Foto Ihsan JBPM

KUALA LUMPUR – Rokok daun dipercayai menjadi punca seorang wanita warga emas ditemui rentung di atas katil dalam kejadian kebakaran di sebuah apartmen di Taman Paramount, Petaling Jaya, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, hasil siasatan forensik bomba mendapati banyak puntung rokok di sekeliling katil mangsa.

“Balai Polis Sea Park telah menerima panggilan orang awam memaklumkan berhubung kejadian kebakaran di apartmen itu sekitar jam 6.45 petang.

“Polis bersama sebuah jentera bomba, unit anjing (K9) bomba dan sebuah ambulans dari Hospital Sungai Buloh telah ke lokasi kejadian.

“Semasa tiba di lokasi, pihak bomba mendapati kebakaran berlaku hanya di bilik mangsa iaitu di bilik kedua bersebelahan dengan ruang dapur.

“Mangsa seorang wanita tempatan berusia 62 tahun tinggal bersendirian ditemui dalam keadaan terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan maklumat yang diperoleh, mangsa juga mengalami patah kaki sejak dua tahun lalu dan bergerak perlahan menggunakan sokongan bantuan tongkat empat kaki.

Bagaimanpun katanya, pihak ambulan dari Hospital Sungai Buloh bersama pegawai perubatan telah mengesahkan mangsa.

“Hasil pemeriksaan, tiada unsur jenayah dikesan dari siasatan awal yang dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” jelansya.

Susulan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mangsa untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Safuan Alias di talian 011-10255125 atau 03-77222222 bagi membantu siastaan. – MalaysiaGazette