Nadir Al-Nuri.-Foto FAREEZ FADZIL, 08 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – “Kalian telah memenggal kepala ‘Abu Bakar’ yang lemah-lembut untuk digantikan dengan ‘Umar Al-Khattab’ yang bengis dan kasar!”

Perbandingan itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman terhadap keputusan Hamas memilih Yahya Sinwar bagi menggantikan Ismail Haniyeh yang syahid minggu lalu.

Katanya pemilihan Sinwar menunjukkan Hamas mengambil tindakan lebih agresif dan genius.

Sinwar merupakan calon paling layak untuk dilantik ketika ini dengan mesej Hamas sudah puas bertarik-tali dan berdiplomasi.

Keputusan-keputusan Hamas pada masa akan datang lebih keras dan tegas, hitam atau putih.

Menurut Nadir, Sinwar adalah individu paling sesuai berdepan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kerana kedua-dua mereka sama ‘keras kepala’ dan ‘susah bertolak-ansur’.

“Kalau Haniyeh terkenal dengan ‘kami tidak akan mengiktiraf Israel, Sinwar terkenal dengan perkataan ‘khawah rughma anfih’ iaitu ‘lantak kau nak ke tak nak, aku akan buat juga’.

“Perang di Gaza adalah perang pembebasan dan bukan perang ke arah langkah pembebasan. Catur digerakkan untuk sampai ke tahap ‘checkmate’.

“Kuasa dikembalikan kepada Gaza kerana selayaknya mereka menentukan masa depan gerakan pada masa ini,” kataya.

Tambah Nadir, Sinwar bukan dikenali sebagai orang politik tetapi lebih terkenal sebagai mujahid dan pelantikan beliau mengetuai Hamas dilihat sebagai penyatuan kuasa sayap bersenjata dengan kuasa politik.

Tambahan Sinwar antara pengasas sayap ketenteraan Hamas iaitu briged Al-Qassam dengan nama Al-Majd pada awalnya.

“Komunikasi di antara pimpinan sayap bersenjata dan sayap politik ternyata tidak putus walaupun Sinwar tidak pernah dilihat sejak 7 Oktober. Berapa lama Sinwar boleh bertahan di dalam terowong, mengetuai perang?

“Untuk konteks, Yahya telah dipenjara selama 23 tahun oleh penjajah, empat tahun daripadanya beliau duduk di dalam ‘solitary confinement‘ seorang diri dan hanya bercakap dengan semut, bermakna setakat memerintah dari dalam terowong ibarat syurga untuk beliau!” tambah Nadir.

Hamas menamakan pemimpin Gaza, Sinwar sebagai pengganti kepada Ketua Biro Politik, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Tehran, Iran minggu lalu.

Sinwar dianggap arkitek serangan paling dahsyat ke atas Israel dalam beberapa dekad dan bersembunyi di Gaza, menentang percubaan rejim untuk membunuhnya sejak permulaan perang.

Pelantikan itu diumumkan ketika Israel bersiap sedia untuk berdepan kemungkinan serangan dari Iran berikutan pembunuhan Haniyeh di Tehran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast