Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 12 Ogos depan bagi keputusan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang mahu menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) ketika ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan tarikh itu setelah mendengar semua hujah daripada semua pihak sebelum keputusannya ada Isnin depan.

Ketika prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ahmad Hanir Hambaly berhujah pilihan raya itu secara rasmi bermula selepas penamaan calon ditutup pada Sabtu lepas.

Kata beliau, kempen PRK sedang berjalan manakala hari penamaan calon pada 3 Ogos lalu dan undi pos telah pun dikeluarkan SPR.

“Azizi tidak boleh halang SPR daripada melakukan tugasan hakiki mengikut peruntukan Perlembagaan sedia ada. Injuksi ini akan bercanggah dengan kepentingan awam.

“Writ pilihan raya telah dikeluarkan pada 28 Jun manaka penamaan calon pada 3 Ogos. Undian pada 17 Ogos.  Tinggal hanya undi awal, proses PRK sudah bermula,” katanya hari ini.

Tambah beliau sebanyak 43 kertas undi pos sudah dikeluarkan kepada individu yang akan bertugas pada hari pengundian.

Terdahulu Mohd Azizi mengemukakan saman pemula bagi menghentikan SPR daripada mengadakan pilihan raya di kawasan DUN berkenaan.

Mohd Azizi yang juga bekas Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang memohon pengisytiharan DUN itu tidak kosong maka PRK bagi kerusi terbabit tidak boleh dijalankan.

Beliau juga memohon pengisytiharan pemecatan jawatan dan keahliannya dalam Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun lalu adalah tindakan yang tidak sah.

Mohd Azizi selaku plaintif menamakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan SPR selaku defendan.

Mohd Azizi turut memohon pengisytiharan surat makluman daripada Mohd Amar kepada SPR bahawa kerusi DUN Nenggiri kosong, digantung pelaksanaannya. – MalaysiaGazette