PEMBUNUHAN Ismail Haniyeh, Ketua Biro Politik Hamas, yang berlaku minggu lalu di Tehran telah mendedahkan beberapa kelemahan kritikal dalam sistem pertahanan Iran.
Haniyeh dibunuh oleh “projektil jarak pendek” yang dilancarkan dari luar kediamannya, menurut Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).
Projektil tersebut membawa bahan letupan seberat kira-kira tujuh kilogram (kg) dan mengakibatkan kematian Haniyeh serta pengawal peribadinya.
IRGC menyalahkan Israel atas serangan itu dan menyatakan bahawa Israel akan menerima “hukuman berat”.
Amerika Syarikat (AS) yang turut dituduh menyokong serangan itu menafikan sebarang penglibatan.
Pembunuhan itu berlaku beberapa jam selepas komander tertinggi Hezbollah, Fuad Shukr, dibunuh dalam serangan udara Israel di Beirut.
Kedua-dua kejadian itu dijangka meningkatkan ketegangan di Asia Barat.
Iran dijangka mungkin membalas serangan tersebut, terutama selepas insiden pembunuhan Haniyeh yang melanggar kedaulatan Iran.
Namun hal ini masih belum dimuktamadkan.
Sesuatu yang pasti, pembunuhan itu mempersoalkan berkaitan beberapa kelemahan utama dalam sistem pertahanan Iran.
Iran menghadapi kekangan dalam kemampuan ketenteraan konvensional akibat sekatan-sekatan ekonomi dan perbelanjaan ketenteraan yang terhad.
Pada tahun 2022, perbelanjaan bagi pertahanan Iran hanya AS$6.85 bilion iaitu 2.59 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Iran.
Ini memaksa Iran menggunakan strategi asimetri seperti kerjasama dengan aktor bukan negara dan pembangunan teknologi ketenteraan domestik.
Keterbatasan ini ditunjukkan dengan ketidakmampuan Iran untuk melindungi tokoh penting seperti Haniyeh daripada serangan luar.
Iran juga masih bergantung kepada teknologi ketenteraan lama, seperti misil Scud-B yang diperolehi dari Korea Utara.
Walaupun negara itu telah membuat beberapa kemajuan dalam pembangunan teknologi misil domestik, namun, masih ketinggalan berbanding negara-negara lain dalam rantau yang mempunyai akses kepada teknologi ketenteraan yang lebih maju.
Ini menjadikan Iran rentan terhadap serangan yang lebih canggih dan terancang.
Negara itu juga memiliki kemampuan udara yang terbatas dan bergantung kepada sistem pertahanan udara yang terintegrasi untuk mengimbangi kekurangan dalam `superioriti’ udara.
Sistem seperti Sevom-e-Khordad, walaupun canggih hanya mampu bertindak dalam jarak dan ketinggian tertentu, menjadikannya rentan terhadap serangan yang lebih kompleks dari musuh yang memiliki kekuatan udara yang lebih unggul.
Strategi Iran yang bergantung kepada serangan asimetri dan penggunaan proksi (aktor bukan negara) seperti Hizbullah dan Houthi di Yaman menunjukkan ketidakmampuan mereka untuk menghadapi musuh secara langsung dengan kekuatan yang setara.
Ini menunjukkan kelemahan dalam menghadapi ancaman langsung dari kuasa besar seperti AS dan Israel.
Pembunuhan Haniyeh menonjolkan kelemahan serius dalam sistem pertahanan Iran dan memberi isyarat kepada dunia tentang kerentanan negara tersebut terhadap serangan luar yang terancang dan berteknologi tinggi.
Ini juga menunjukkan walaupun Iran telah mengambil langkah-langkah untuk memperkuat pertahanannya, masih terdapat kelemahan yang ketara yang boleh dieksploitasi oleh musuh-musuhnya.
Muhammad Ehsan ialah Pegawai Penyelidik Yayasan Kedah Sejahtera.