KUALA LUMPUR – Hannah Yeoh digesa untuk bertentang mata bersama Persatuan Karate Hayashi-Ha Malaysia bagi mencari titik noktah berhubung perobohan Dewan Komuniti Taman Sri Sinar, di Segambut, di sini.
Ketua jurulatih persatuan itu, Thennavan Ponniyah berkata, pihaknya menafikan dakwaan Ahli Parlimen Segambut bahawa pusat latihan tersebut telah beroperasi secara tidak sah.
“Untuk pengetahun semua, kami telah menyumbang 52 pingat dalam sukan karate selama 30 tahun di sini. Kami banyak menyumbang kepada negara dan kamu (Hannah Yeoh) tidak boleh nafikan.
“Kami mempunyai lebih 200 pelajar yang majoritinya terdiri daripada golongan B40 dan pelajar sekolah menengah yang berlatih di sini sebanyak tiga kali seminggu. Bukan kami tidak dikenali tetapi kamu memilih untuk tidak mengenali kami,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut dihadiri beberapa pelajar karate yang mewakili Sukan Malaysia (Sukma), di sini, hari ini.
Tambah Thennavan, sehingga kini pihaknya cuba menghubungi dan memohon untuk bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan itu bagi mencari penyelesaian namun tidak diendahkan.
“Apabila kami ke pejabat kamu, petugas di sana berkata mereka serahkan kepada pihak berkuasa dan tidak mahu campur tangan dalam urusan ini.
“Kami juga telah pergi ke pejabat cawangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan bertanyakan di mana kami hendak berlatih sekirannya pusat latihan ini dirobohkan? Ia dijawab dengan sinis iaitu buat la kat mana-mana kedai kopi ke?,” ujarnya.
Beliau juga menafikan kenyataan pemimpin wanita DAP itu bahawa premis terbabit telah dimonopoli, sebaliknya ia dikongsi oleh semua kaum dan rukun tetangga di kawasan tersebut.
Tegas Thennavan, keadaan tersebut telah memberi impak negatif terutama semangat kepada atlet Sukma dalam persatuan itu yang mewakili Kelantan kerana pusat latihan mereka dirobohkan.
“Rukun tetangga di sini sangat aktif. Banyak program yang telah dilakukan seperti Tahun Baru Cina, Krismas, Ponggal dan juga sambutan Hari Raya. Atas dasar apa kamu menuduh kami monopoli dewan ini?
“Semua bil ultiliti ditanggung oleh persatuan. Macamana perkara ini boleh berlaku sekiranya kami tidak mendapat kelulusan rukun tetangga?,
“Saya boleh memilih untuk membelanjakan duit saya di tempat lain tetapi saya laburkan di sini kerana rasa cinta terhadap sukan dan mengembangkan bakat pelajar-pelajar di sini,”jelasnya.
Sehubungan itu, pihak persatuan dan para pelajar berharap wakil kerajaan terutama pemimpin kawasan Segambut mendengar luahan penduduk setempat.
Selain mencari solusi seperti menyediakan tempat baharu yang lebih luas khusus untuk bakal atlet melakukan latihan yang sekaligus dapat meningkatkan lagi keupayaan sukan negara.
“Kami tidak mempunyai dendam peribadi terhadap Hannah namun berharap dan amat bersedia untuk bertemu dengannya bagi menyelesaikan isu ini denga segera,” ujarnya. – MalaysiaGazette