Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Seramai 3,245 usahawan di negeri ini telah dibantu menerusi  Inisiatif Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) berjumlah RM31,027,300 sejak ia mula diperkenalkan pada 2022.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,132 usahawan menepati kriteria akan menerima kelulusan pada fasa ketiga pada tahun ini.

”Sebelum ini fasa 1 dan 2 namun melihat kepada keperluan untuk meningkatkan kapasiti usahawan, inisiatif I-PUSH ini diteruskan pelaksanaannya untuk Fasa 3.

”Untuk I-PUSH Fasa 3 ini, sebanyak 1,132 usahawan yang menepati kriteria yang telah ditetapkan akan menerima kelulusan dengan jumlah pembiayaan keseluruhan daripada Kerajaan Negeri sebanyak RM10,495,300,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kata Wan Rosdy, sebanyak 1,988 permohonan telah diterima dan proses saringan dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan I-PUSH memberi kesan positif kepada usahawan yang seterusnya diterjemahkan kepada perkembangan ekonomi yang lebih pesat.

Difahamkan pembiayaan pinjaman itu akan disalurkan melalui Bank Muamalat Malaysia Berhad dan semua urusan penyaluran dana dijangka akan selesai selewat-lewatnya pertengahan Ogos 2024.

Jelas Wan Rosdy, pelaksanaan inisiatif tersebut adalah sebagai usaha berterusan kerajaan negeri untuk memberi peluang kepada usahawan mikro mengembangkan perusahaan dan seterusnya mendapatkan peluang-peluang perniagaan mereka di pasaran yang lebih baik.

Sebelum ini, dua fasa pelaksanaan I-PUSH telah selesai ditawarkan kepada pemohon pembiayaan ini yang memberi manfaatkan kepada 2,293 usahawan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM20,532,000.

”Untuk pelaksanaan Fasa 1, seramai 804 usahawan telah mendapat kelulusan pembiayaan berjumlah RM6,836,500 dan 1,489 orang usahawan telah mendapat kelulusan pembiayaan melalui Fasa 2 I-PUSH berjumlah RM13,695,500,” tambahnya.

Dalam pada itu, tindakan pemantauan termasuk lawatan dan semakan di lapangan untuk menilai keberkesanan inisiatif serta mengenal pasti potensi usahawan juga akan mula dilaksanakan sebagai tanda komitmen kerajaan negeri memperkasakan perkembangan usahawan.

Wan Rosdy berharap golongan usahawan dapat menggunakan insentif pembiayaan tanpa faedah yang disediakan ini untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran produk dan perkhidmatan masing-masing. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

I-Push bukan alat panching undi – Wan Rosdy

Insentif atlet Pahang menang pingat emas SUKMA dinaikkan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast