Wan Rosdy Wan Ismail bergambar dengan penerima Skim Bantuan I-Push di Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Peruntukan Skim Bantuan I-Push sebanyak RM20 juta bagi membantu kelangsungan usahawan mikro di Pahang memulakan perniagaan bukan alat memancing undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, skim yang akan memberi manfaat kepada 2,500 usahawan dengan memberi bantuan kewangan antara RM3,000 hingga RM10,000 telah dirangka sejak tujuh bulan lalu.

Katanya, pemilihan penerima dilakukan dilakukan lebih awal iaitu kira-kira enam hingga tujuh bulan lalu dengan melalui pelbagai proses pemilihan bagi memastikan usahawan yang benar-benar layak terpilih.

“Kita sudah rancang daripada awal lagi, sebab ia mengambil masa dan proses hendak daftar nama.

“Kita boleh lihat rekod lampau kerajaan, kita sudah mulakan pada 2018 lagi, kita bagi bantuan kepada rakyat, bantuan prihatin semasa Covid-19, banjir, Rumah Rakyat Pahang percuma. Ini kita bagi bermula pada tahun 2018 lagi.

“Jadi ini tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya sebab bagi kita ialah setiap masa kita pasti menjaga kepentingan rakyat,” katanya selepas menyampaikan bantuan I-Push, di sini, hari ini.

Tambah Wan Rosdy, Skim Bantuan I-PUSH yang diagihkan melalui dua fasa bertujuan membantu kelangsungan usahawan mikro di Pahang yang terkesan daripada penularan Covid-19 memulakan perniagaan.

Katanya, pengagihan fasa pertama melibatkan 751 usahawan daripada 1,000 permohonan yang menepati syarat yang ditetapkan. – MalaysiaGazette