KUANTAN – Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang bersetuju agar kadar insentif untuk pemenang pingat emas bagi atlet negeri ini yang bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di Sarawak ditingkatkan.
Melalui insentif ini, setiap pemenang pingat emas atlet individu akan menerima insentif RM6,000, berbanding RM4,000 sebelum ini.
Manakala setiap pemenang pingat emas atlet berkumpulan akan menerima insentif RM2,000 setiap seorang, berbanding RM1,000 sebelum ini.
“Peningkatan kadar insentif ini adalah sebagai menghargai komitmen dan usaha gigih para atlet yang telah bersungguh-sungguh berlatih dan berkorban untuk meningkatkan imej Pahang dan memajukan bidang sukan di negeri ini.
“Saya berharap para atlet SUKMA Pahang dapat mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dalam mengharungi saingan SUKMA Ke-21 yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini dengan penuh keazaman dan kecekalan terutamanya dalam memburu pingat emas.
“Selamat berjuang kepada semua atlet SUKMA Pahang dan jadilah inspirasi kepada generasi muda negeri ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sebelum ini Pahang menyasar menjadi pasukan lima terbaik pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 yang akan berlansung di Sarawak dengan meraih sekurang-kurangnya 40 pingat emas. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Pahang sasar 40 pingat emas pada SUKMA Sarawak 2024
Sukma Sarawak: Pahang sasar 2 pingat emas dari sukan tinju