DATUK Seri Anwar Ibrahim meneliti buku garis panduan pada pada Majlis Peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan, di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri supaya melihat semula undang-undang berkenaan pengambilan tanah oleh kerajaan untuk kepentingan awam susulan keputusan mahkamah dalam kes Semantan Estate.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan kes itu boleh menimbulkan huru-hara dan implikasi yang serius kepada negara sekiranya semua pengambilan tanah oleh kerajaan untuk kegunaan awam sebelum ini menggunakan prinsip yang sama.

Bagaimanapun, ujar beliau, kerajaan menghormati keputusan mahkamah dalam kes tersebut yang mana dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“(Kes) Tanah Semantan ini sudah tentulah merungsingkan kita sebab tanah itu diambil untuk kemudahan awam, untuk badan-badan kerajaan dan sebagainya bukan untuk (kegunaan) swasta.

“Saya kena cadangkan kepada Jemaah Menteri untuk lihat semula undang-undang ini kerana kalau prinsip ini digunakan, bagaimana dengan tanah-tanah rakyat yang dulu diambil sejak merdeka atau sebelum merdeka untuk tujuan kerajaan, kemudian diambil alih oleh sektor swasta.

“Atau sektor swasta yang membeli tanah pertanian kemudian ditukar ke tanah perindustrian yang mana orang yang jual tanah itu (pada mulanya) pada harga yang sangat rendah.

“Kalau semua guna kaedah dan prinisp yang ada sekarang ini (seperti) diputuskan oleh mahkamah, (maka) akan huru-hara negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menambah, kerajaan juga akan melihat implikasi undang-undang berhubung kes tersebut dan Kabinet akan menjelaskan lebih lanjut mengenai isu terbabit minggu depan.

Rabu lalu, media The Edge melaporkan, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan pelikuidasi syarikat Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. untuk mendapatkan semula tanah di Jalan Tuanku Abdul Halim (sebelum ini dikenali Jalan Duta) yang menempatkan beberapa kompleks bangunan kerajaan kepada syarikat berkenaan.

Keputusan itu membabitkan pengembalikan tanah seluas 106.542 hektar yang dikenali sebagai Duta Enclave kepada pemilik asal syarikat (Semantan Estate), yang menempatkan antaranya bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Arkib Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas mahkamah membenarkan permohonan syarikat terbabit untuk menguatkuasakan perintah 2009.

Menerusi keputusan penghakimannya, beliau memerintahkan kerajaan melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan bermula Selasa lalu.

Keputusan itu sekali gus menyelesaikan pertikaian tanah sivil antara paling lama di Malaysia sejak merdeka iaitu selama hampir tujuh dekad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast