Gambar hiasan.

KERIAN – Seorang wanita masih berani melakukan jenayah meskipun baharu sahaja dua hari dibebaskan dari tahanan polis sementara menunggu perbicaraan kes.

Wanita warga tempatan berusia 24 tahun itu ditahan polis bersama kekasihnya yang berumur 28 tahun selepas dipercayai mencuri sebuah motosikal di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Juna Yusoff berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kehilangan sebuah motosikal yang diletak di dalam Kawasan rumah berpagar tidak berkunci sekitar jam 8.24 pagi pada Khamis.

Menurut beliau, bertindak daripada laporan yang dibuat mangsa, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian telah membuat risikan dan siasatan lanjut.

“Hasil maklumat risikan pada hari yang sama lebih kurang jam 2.30 petang, satu serbuan telah dilakukan di Inap Desa di Kuala Kurau dan berjaya menangkap seorang lelaki dan wanita serta menemui semula motosikal yang hilang bersama suspek.

“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan rekod lampau suspek lelaki mempunyai satu rekod berkaitan dadah manakala suspek wanita pula mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau melibatkan dadah dan jenayah.

“Suspek wanita juga baharu sahaja dua hari dibebaskan dari lokap IPD Kerian atas kesalahan dadah dan sedang dalam tempoh jaminan sementara menunggu hari perbicaraan.

“Kes diklasifikasikan di Bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Jelasnya lagi, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Parit Buntar bagi mendapatkan perintah tahanan reman untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette