Ketua Pegawai Eksekutif Hamel Marketing Sdn Bhd, Ben Tan menerima sijil dari Pegawai Malaysia Book of Records, Siti Hajar Johor pada Program Most R25 Bike Wash and Coating In A Day for Malaysia Book of Records di Hamel Flagship, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 3 OGOS 2024

SHAH ALAM – Sebanyak 150 motosikal berkuasa sederhana dengan kapasiti 250cc, Yamaha R25 yang dicuci dan menjalani proses “coating” dalam tempoh kurang 24 jam menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR), di sini, baru-baru ini.

Anugerah itu diberikan kepada pakar “coating” kereta dan motosikal, Hamel Marketing Sdn Bhd menerusi kategori “The Most Wash And Coat R25 In A Day” selepas berjaya melepasi keperluan minimum iaitu 120 motosikal yang ditetapkan MBOR.

Ben Tan

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ben Tan berkata, idea acara itu tercetus kerana minat mendalam beliau kepada sukan dunia permotoran khususnya motosikal berkuasa besar yang melibatkan pelbagai latar belakang dan berbilang bangsa.

“Sebenarnya saya seorang penunggang motosikal dan amat meminati motosikal berkuasa tinggi. Apabila melihat rekod yang ada di MBOR, belum ada mana-mana syarikat atau kumpulan mengadakan program seperti ini.

“Jadi saya bersama pasukan mengambil keputusan untuk menjayakan acara cuci dan ‘coating’ ini. Rata-rata penunggang Yamaha R25 datang dari Kedah, Pulau Pinang, Kelantan Johor, Melaka dan Lembah Klang,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Hamel Marketing Sdn Bhd, Ben Tan bergambar bersama 150 orang peserta yang menyertai Program Most R25 Bike Wash and Coating In A Day for Malaysia Book of Records di Hamel Flagship, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 3 OGOS 2024

Hadir sama, pegawai MBOR, Siti Hajar Johor yang menyerahkan sijil pengiktirafan itu sebaik sahaja berpuas hati dengan rekod baharu yang berjaya dipecahkan Hamel Marketing di pusat pamerannya di Seksyen 15, di sini.

Menurut Ben, rekod baharu itu berjaya dicapai dengan memastikan kesemua 20 pekerjanya menyelesaikan proses cucian dan “coating” Yamaha R25 dalam tempoh 10 minit.

“Seramai empat pekerja akan ditugaskan untuk menyiapkan setiap motosikal Yamaha R25 di mana dua daripadanya mencuci, manakala dua lagi untuk ‘coating’.

“Teknik ‘coating’ pula dilakukan secara manual dan teliti untuk melindungi warna asal daripada pudar serta mengelakkan calar,” katanya.

Pegawai Malaysia Book of Records (MBOR), Siti Hajar Johor

Sementara itu, Siti Hajar pula mengesahkan Hamel Marketing berjaya memecah rekod bagi kategori baharu itu dengan menetapkan “benchmark” acara itu sekurang-kurang 120 motosikal.

“Bagaimanapun, Hamel Marketing berjaya menyempurnakan acara ini melibatkan 150 motosikal, sekali gus melepasi benchmark yang ditetapkan MBOR,” katanya lagi. – MalaysiaGazette