HULU SELANGOR – Seramai 40 individu termasuk pemandu kereta sport dan motosikal berkuasa besar dicekup polis ketika leka berlumba di Jalan Ulu Yam Bharu-Sungai Tua, Batang Kali hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kesemua mereka dikenakan saman atas pelbagai kesalahan ketika pihaknya melakukan Op Samseng Jalanan bermula jam 7 hingga 10 pagi tadi.
“Aktiviti itu berjaya dipatahkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor menerusi Ops Samseng Jalanan yang dijalankan hari ini.
“Antara kesalahan sepanjang operasi termasuk memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi had laju, tiada lesen memandu dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
“Bagaimanapun tiada sitaan dan tiada pemandu ditahan dalam operasi ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Ahmad Faizal, tinjauan pihaknya mendapati Jalan Ulu Yam Bharu-Sungai Tua menjadi tumpuan pemandu kereta dan penunggang motosikal berkuasa tinggi untuk berkonvoi, tidak kurang juga memandu secara berbahaya.
“Setakat ini, polis masih belum menerima aduan ada pihak yang berlumba namun polis akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.
“Pemandu kereta dan penunggang motosikal diingatkan membawa kenderaan dengan sebaik mungkin, mematuhi undang-undang lalu lintas dan tidak mementingkan diri sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette