KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan biadab oleh rejim Israel terhadap Sekolah al-Tabin di Bandar Gaza, Palestin, semalam.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, serangan itu telah meragut nyawa lebih 100 rakyat Palestin yang berlindung di sekolah tersebut, termasuk ramai kanak-kanak, serta mencederakan ramai lagi dengan parah yang mungkin kehilangan nyawa akibat kekurangan bekalan perubatan yang sangat diperlukan.
Tambahnya, serangan yang disengajakan terhadap sekolah yang dijadikan tempat perlindungan oleh rakyat Palestin bukan sahaja merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia, tetapi juga merupakan satu jenayah kemanusiaan yang tidak terampunkan.
“Rejim Israel sekali lagi jelas menunjukkan bahawa ia tidak mempunyai sebarang niat untuk mencapai perdamaian.
“Adalah amat tidak berperikemanusiaan bagi masyarakat antarabangsa untuk hanya berpeluk tubuh sementara tentera kependudukan Israel terus membunuh wanita, kanak-kanak, dan warga tua tanpa sebarang hukuman,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Wisma Putra menambah, masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi bertolak ansur dengan keangkuhan rejim Israel.
Katanya, janji-janji kosong kerajaan Israel untuk mencapai gencatan senjata kekal dalam rundingan damai yang sedang berlangsung tidak boleh dipercayai.
Jelasnya, Malaysia terus menyeru sekutu-sekutu rejim Israel agar memaksa Israel untuk segera menghentikan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa, dan menghentikan segala sokongan yang membolehkan genosid ini diteruskan.
“Tindakan segera, mendesak dan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu amat diperlukan untuk melaksanakan gencatan senjata kekal, memastikan bantuan kemanusiaan mengalir tanpa halangan ke Palestin, dan membawa rejim Zionis ke muka pengadilan atas jenayah perang yang dilakukan.
“Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti bersatu dan bekerjasama dengan semua Negara Anggota PBB untuk mendesak Israel mematuhi Resolusi UNSC 2735 (2024) dan menghormati Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa bertarikh 19 Julai 2024. Masa untuk bertindak adalah sekarang,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Malaysia berdiri teguh dalam komitmennya terhadap keadilan dan keamanan dan akan terus memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin.
Katanya, Malaysia juga tidak akan berhenti sehingga Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat ditubuhkan dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya yang sah dan Palestin diiktiraf sebagai Negara Anggota Penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – MalaysiaGazette