KLANG – Nyawa seorang lelaki hampir melayang selepas kenderaan serba guna (MPV) miliknya yang diparkir di bahu jalan dihempap pokok tumbang di Jalan Kapar, Batu 3, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pokok itu tumbang akibat hujan lebat hampir sejam melanda kawasan tersebut.
Beliau berkata, sepasukan lima anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan itu jam 11.25 pagi.
“Komander Operasi melaporkan sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta MPV jenis Mazda Premacy.
“Sebelum kejadian, mangsa berusia lingkungan 40-an dikatakan parkir kenderaannya di bahu jalan dan pergi ke sebuah kedai,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Menurut Ahmad Mukhlis, anggota bomba kemudiannya melakukan kerja-kerja pembersihan dan pengalihan pokok tumbang tersebut selama kira-kira dua jam.
“Operasi tersebut ditamatkan sepenuhnya jam 1.48 petang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette