KUALA LUMPUR – Penyanyi dan juga pelakon, Gadaffi Ismail Sabri, 36, melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana berjaya melepasi peringkat pertama Asasi Pentadbiran Perniagaan, KLIEC, London Board Of Examination dan University of Gloucestershire United Kingdom.
Anak lelaki bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang lebih mesra dengan panggilan Dafi itu selepas ini akan meneruskan pengajian di peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti yang sama.
Ketika ditemui MalaysiaGazette, Dafi melahirkan rasa gembira kerana dia berjaya menamatkan peringkat asasinya itu.
Katanya, dia kini lebih bersemangat kerana hasratnya untuk menuntut ilmu ke tahap yang lebih tinggi bakal membuahkan hasil.
“Sebenarnya saya ada perniagaan sendiri dan dengan peringkat asasi ini saya akan adaptasikannya di dalam bidang yang saya ceburi.
“Saya rasa dengan ijazah ini ia memberikan lebih peluang kepada saya dalam mempelajari sesuatu perkara berkaitan perniagaan dengan lebih luas,” katanya selepas Majlis Konvokesyen dan Makan Malam Graduan KLIEC 2024 di sini baru-baru ini.
Ditanya sama ada beliau akan meninggalkan dunia hiburan selepas memiliki kelayakan akademiki yang lebih tinggi, penyanyi yang popular dengan lagu Bila Terasa Rindu itu tetap akan berkecimpung dalam bidang itu selagi dapat diterima peminatnya.
Katanya, dia mempunyai perancangannya sendiri dalam bidang tersebut lebih-lebih lagi lagu baharunya yang dikomposerkan oleh Shazee Ishak dengan penulis liriknya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali dengan panggilan Altimet berjudul Hellooo! akan dikeluarkan pada 16 Ogos ini.
“Sebenarnya saya masih lagi mahu bergelar artis dan terlibat dalam dunia hiburan ini. Cuma apa yang saya miliki ini (sarjana) akan membolehklan saya belajar sesuatu yang baru dan dapat mengembangkan minda,” ujarnya. – MalaysiaGazette