Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

SEPANG – Polis Selangor masih memburu empat individu dalam kes penculikan seorang lelaki warganegara China dan seorang wanita warganegara tempatan di susur keluar selepas Plaza Tol Max hala ke Cyberjaya pada 11 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada empat individu itu, tiga merupakan lelaki dan seorang wanita dan kesemua mereka dipercayai masih berada di dalam negara.

“Kesemua empat suspek ini merupakan warganegara tempatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang hari ini.

Sebelum ini, polis menembak mati empat lelaki dan menahan 10 individu termasuk enam lelaki dan empat wanita yang terlibat dalam kes penculikan di susur keluar Plaza Tol Mex menghala ke Cyberjaya.

Kejayaan itu hasil daripada beberapa serbuan yang dilakukan polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Mengulas lanjut, hasil serbuan itu, polis berjaya merampas wang tunai, barang bernilai serta kenderaan hasil jenayah itu bernilai RM3.1 juta pada 8 Ogos lalu.

“Wang tunai yang berjaya ditemui dalam serbuan ini sebanyak RM1.65 juta,” ujarnya.

Polis juga merampas enam jam tangan mewah, enam pelbagai jenama beg tangan wanita, enam telefon bimbit pelbagai jenama, satu keping resit pembelian barang kemas, satu utas rantai beserta loket emas.

Turut dirampas sebuah kereta Toyota Vellfire, Mini Cooper (1), Toyota Alphard (2), Toyota Camry (1), Honda City (1) dan Mitshubishi Triton (1).

“Kesemua rampasan termasuk wang tunai dan barang-barang yang ditemui ini anggaran bernilai RM3.1 juta,” katanya.

Hussein memberitahu, hasil tangkapan dan rampasan itu polis percaya pihaknya hampir selesai kes penculikan itu.

“Dalam kes culik ini, yang terlibat 18 orang di mana empat telah ditembak mati, 10 telah ditangkap iaitu masih dalam tahanan reman sehingga 14 Ogos ini manakala empat lagi masih diburu,” katanya.

Kesemua 18 individu ini mempunyai pelbagai peranan bermula dengan pekerja mangsa bersama perancang utama dalam proses penculikan.

“Ada pihak yang mengeluarkan wang tunai itu di mana pembayaran itu dibuat melalui Bitcoin berjumlah AS$1.2 juta. Ada pihak yang membantu mengeluarkan atau menukar wang Bitcoin kepada mata wang tempatan (RM).

“Ada pihak yang menyimpan wang ini, ada pihak yang terlibat dalam menjaga mangsa sewaktu dalam tahanan mereka.

“Pelbagai tugas dalam proses keseluruhan penculikan tersebut sehingga mangsa dibebaskan dan wang ini telah dibahagi kepada 18 orang ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast