Oleh: Prof Madya Dr Sueraya Che Haron
KEMAJUAN sains dan teknologi telah membawa perubahan yang sangat besar dalam semua aspek kehidupan manusia. Teknologi juga telah merubah cara manusia berhubung. Pada masa kini, pelbagai bentuk media sosial boleh diguna untuk berkomunikasi dan berinteraksi. Menurut laporan ExplodingTopics.com, 10 media sosial yang paling ramai pengguna pada tahun 2024 adalah Facebook, YouTube, WhatsApp, Instagram, TikTok, Wechat, Messenger, Telegram, Viber dan Snapchat. Urutan tersebut ialah berdasarkan jumlah pengguna dan data trafik yang diukur secara bulanan.
Meltwater.com turut melaporkan pada tahun 2024, Malaysia merekodkan 28.68 juta pengguna media sosial. Manakala media sosial yang paling popular di Malaysia ialah
Whatsapp, TikTok, Facebook, Instagram, Twitter, Xiaohongshu, Telegram, Wechat, Pinterest dan Discord. Memetik laporan Statista.com pada 4 Jun 2024, sehingga suku ketiga 2023, rakyat Malaysia menghabiskan masa selama 2 jam 48 minit (purata sehari) menggunakan media sosial, yang mana ia menunjukkan sedikit kenaikan dari tahun sebelumnya iaitu 2 jam 47 minit. Kesemua data ini menunjukkan dengan jelas betapa besarnya pengaruh media sosial dalam kehidupan kita semua. Ia seolah-olah sebahagian dari kehidupan kita yang tidak mungkin dapat dipisahkan.
Dalam keghairahan kita menyambut baik kepesatan pembangunan media sosial, kita tidak seharusnya lupa sisi gelap media sosial dan kesan buruk yang boleh berlaku andai kita tersalah langkah dalam menggunakannya. Dalam kita meraikan penggunaan media sosial seharusnya kita tidak lupa batas-batas adab dan toleransi yang dianjurkan oleh agama dan adat ketimuran kita. Agama Islam sebagai contoh, mengharuskan penggunaan media sosial untuk tujuan kebaikan, namun suruhan menjaga adab dalam apa juga urusan seharian kita tetap dituntut.
Akhir-akhir ini, banyak hantaran-hantaran video yang tidak sewajarnya disajikan kepada umum viral di media sosial. Ada video yang mempertontonkan pertengkaran dan perang mulut, pergolakan rumahtangga, perlakuan yang jelik dan memalukan, dan berpakaian mencolok mata, dan ditonton sehingga ratusan ribu kali. Ditambah pula dengan kandungan komen yang tidak sewajarnya yang ditinggalkan pada setiap video, sama ada berbentuk ejekan, sindiran, penghinaan, dan lain-lain lagi ayat yang mengaibkan tentunya akan meninggalkan kesan negatif, bukan sahaja kepada yang menghantar, tetapi juga yang menontonnya.
Isu sebegini mesti dibendung untuk memastikan rakyat Malaysia menggunakan media sosial secara berhemah, dan menghalang penularan elemen-elemen yang boleh memberi kesan terhadap keperibadian kita. Di Malaysia, usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membendung penyebaran hantaran-hantaran sebegini dari semasa ke semasa seharusnya dipuji. Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab, SKMM komited untuk meningkatkan literasi digital rakyat dengan memberi kesedaran terhadap penggunaan media sosial yang sihat, dan tidak menyalahgunakan platform tersebut untuk tujuan yang tidak wajar dan melanggar undang-undang.
Penggunaan media sosial yang sejajar dengan syariat juga berkait rapat dengan pembangunan peribadi individu. Pengguna media sosial mestilah mempamerkan tingkah
laku yang baik semasa menggunakan media sosial dan pada masa yang sama boleh mempengaruhi pengguna yang lain untuk sama-sama menjadi pengguna yang berkeperibadian baik juga. Antara tingkah laku yang baik termasuklah peka dengan sensitiviti masyarakat yang berbilang agama dan budaya, menghormati perbezaan pendapat dan nilai dalam membincangkan sesuatu isu, dan beradab setiap kali membuat hantaran atau meninggalkan komen di media sosial.
Pengguna media sosial juga seharusnya sedar yang pengaruh media sosial sangatlah besar dan setiap apa yang dikongsi akan memberi impak kepada pengguna yang lain dan berpotensi mengubah sesuatu kepada yang lebih baik atau lebih buruk. Menyedari sifat media sosial yang berpengaruh, ia menjadi medium terbaik untuk memulakan sesuatu aliran yang positif dan bukan sebaliknya. Hantaran yang boleh memberi pengajaran dan pelajaran, ibrah dan tazkirah, panduan dan bimbingan, inspirasi dan motivasi ke arah kebaikan akan menyokong pembangunan peribadi yang sihat dan sangat dialu-alukan.
Manakala hantaran yang membuka aib, memfitnah, mengutuk, menghina, dan menjelikkan akan memberi kesan buruk bukan hanya kepada keperibadian seseorang, tetapi juga pemikiran, kepercayaan, persepsi, bahkan keseluruhan elemen pembentukan diri. Walaupun diakui hiburan adalah tujuan utama penggunaan media sosial pada masa kini, ia bukanlah tujuan utama penggunaan media sosial. Ajaran agama Islam sendiri tidak melarang umat Islam daripada mencari hiburan untuk diri mereka namun hantaran bersifat hiburan mestilah tidak bercanggah dengan syariat, tidak melalaikan dari tanggungjawab seorang Muslim, dan mestilah sederhana sifatnya.
Penulis merupakan Pensyarah, Jabatan Bahasa dan Literasi, Fakulti Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)