CALON BN pada PRK DUN Nenggiri, iaitu Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani ketika turun berkempen sempena PRK itu di Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini. - Pic: FB Asmawi Fikri

KUALA LUMPUR – Jentera Barisan Nasional (BN) perlu memanfaatkan sokongan positif penduduk Nenggiri terhadap parti itu ketika ini untuk mengangkat dan mempopularkan lagi calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Memetik laporan portal UMNO Online, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd. Rafi Alli Hassan berkata, beliau melihat sokongan yang diberikan penduduk Nenggiri kepada BN pada fasa kedua PRK itu ketika ini sangat positif.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd. Rafi Alli Hassan. – Pic: UMNO Online

Sehubungan itu, katanya, jentera-jentera BN perlu menonjolkan lagi calon parti tersebut iaitu Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai Awie terutama menerusi platform media sosial selain menggunakan pendekatan konvensional.

“Bagi fasa kedua ini, harap jentera-jentera BN di seluruh Pusat Daerah Mengundi (PDM) menggunakan media sosial untuk popularkan calon dan parti BN. Kita tahu peranan media sosial ini sangat besar untuk mempopularkan calon dan parti itu sendiri.

“Kepada jentera parti dari atas sehingga ke bawah, gunakan media sosial ini sebagai platform untuk mendekatkan calon BN dengan pengundi-pengundi khususnya di DUN Nenggiri.

“Rata-rata pengundi di Nenggiri ini cukup mengenali calon BN dan ini sebenarnya adalah kekuatan untuk UMNO-BN. Kita sama-sama berusaha, peluang kemenangan amat dekat kepada BN. DUN Nenggiri adalah kubu kuat UMNO-BN dari dulu lagi,” katanya ketika ditemui di PDM Sungai Asap, Gua Musang, semalam.

Dalam pada itu, Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berharap pengundi di DUN Nenggiri menggunakan peluang sebaik-baiknya dengan memilih Awie yang bakal menjadi jambatan antara Nenggiri dengan Kerajaan Persekutuan.

“Rakyat di Nenggiri ini amat mengharap pembangunan dari Kerajaan Persekutuan. Ini adalah peluang dan gunakan Awie sebagai penghubung membawa suara masyarakat Nenggiri.

“Beliau juga wakil dari Kerajaan Perpaduan dan sudah pasti suara rakyat Nenggiri akan di bawa dan di dengar serta membawa limpahan kepada warga Nenggiri,” jelas beliau.

Pada hari pengundian PRK DUN Nenggiri 17 Ogos ini, Mohd. Azmawi Fikri akan menentang calon Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan logo Pas, Mohd. Rizwadi Ismail.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. – MalaysiaGazette