SEPANG – Sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan pil ekstasi daerah Sabak Bernam bernilai RM2.6 juta tumpas selepas tertangkapnya seorang lelaki dipercayai penghantar barang di kawasan sama, 8 Ogos lalu.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketika ditahan jam 4.30 pagi, pihaknya merampas 50 bungkusan warna biru dan hijau bertulis Chinese Pin Wei.
“Bungkusan itu berisi bahan disyaki syabu dengan anggaran berat 50,000 gram.
“Manakala pil ekstasi pula seberat 6,000 gram dijumpai di dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini, hari ini.
Menurut Hussein, suspek yang berusia 40 tahun itu dipercayai mendapat upah menghantar dadah tersebut dengan bayaran RM2,800 untuk setiap penghantaran.
“Setakat ini suspek sudah melakukan dua penghantaran dan dia mula beroperasi sejak enam bulan lalu.
“Jika penghantaran itu berjaya, suspek akan memperoleh bayaran sehingga RM2,800,” katanya.
Selain itu, katanya, suspek berumur 40 tahun yang merupakan seorang penganggur dan sudah berkahwin mempunyai enam rekod lampu berkaitan jenayah dan dadah.
“Hasil saringan awal air kencing adalah methamphetamine,” katanya.
Menurutnya, penahanan lelaki itu juga telah membawa kepada tangkapan dua lagi individu iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan.
“Kedua-dua individu yang berusia 30-an itu adalah warganegara Indonesia,” katanya.
Katanya, suspek ditahan reman selama enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dari 8 hingga 13 Ogos 2024.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan,” katanya. – MalaysiaGazette