KUANTAN – Seorang warga emas maut selepas kenderaan motojip yang dipandunya merempuh ekor sebuah treler yang diparkir di bahu jalan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di sini semalam.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, nahas membabitkan tiga buah kenderaan Perodua Kembara, Perodua Alza dan treler Szetter itu berlaku di Kilometer 47, Jalan Kuantan- Kemaman kira-kira pukul 2.30 petang.
Mangsa, Mamat @ Wahab Jusoh,76 beralamat terakhir di Cherating di sini disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Kemaman.
“Siasatan awal yang dijalankan ditempat kejadian dapati mangsa dari arah Kemaman hendak menghala ke Kuantan. Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba pemandu hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang ekor treler yang diletakkan di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Wan Zahari, pelanggaran itu mengakibatkan kenderaan mangsa berpusing dan bertembung dengan Perodua Alza yang dipandu oleh seorang pensyarah yang datang dari arah sama.
Akibat kemalangan tersebut, mangsa warga emas itu telah dibawa oleh ambulan ke Wad Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. – MalaysiaGazette