Oplus_0

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap kerajaan dapat memberikan peruntukan tambahan sekurang-kurangnya 12 peratus dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Parlimen, Oktober ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau berharap dana awam itu tidak kurang dari peruntukan yang diterima KKR sebanyak RM9.511 bilion bagi 2024 yang meningkatkan 12.7 peratus atau RM8.439 bilion pada 2023.

“Kita harap ada pertambahan, macam (peruntukan) pada 2023 hingga 2024, ada pertambahan 12 peratus.

“Kalau ikut trend, mungkin kita dapat jangan kurang 12 peratus.

“Saya mengharap lebih dari itu tambahan bajet untuk KKR pada 2025 nanti,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KKR, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri sesi libat urus pada Majlis Dialog KKR bersama lebih 100 penggiat industri pembinaan 2024.

Selain itu, Alexander berkata, pihaknya juga memohon peruntukan tambahan sehingga RM100,000 bagi setiap 115 jurutera daerah di seluruh negara.

“Pada 2023, kita dapat peruntukan daripada Kementerian Kewangan berjumlah RM100,000 bagi setiap jurutera daerah untuk kerja-kerja kecil dan segera.

“Kita berterima kasih kerana pada 2024 atau tahun ini telah ditambah kepada RM200,000 di mana Kementerian Kewangan meraskan program kami dilaksanakan dengan terbaik.

“Untuk tahun depan (2025), kita akan mohon tambahan RM100,000 lagi, kita berharap diluluskan menjadi RM300,000 setiap jurutera daerah,” katanya. – MalaysiaGazette