KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menyiasat saluran Youtube seorang individu yang menghasilkan video realiti membabitkan wanita dan lelaki dalam sebuah premis hingga mengundang rasa kurang senang warganet.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya akan meminta JAKIM menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya berlaku sebarang kesalahan mengikut akta atau enakmen agama Islam.
“Sekiranya ada berlaku sebarang kesalahan mengikut di bawah akta atau enakmen agama Islam di negeri-negeri, kita akan mengambil tindakan.
“Perkara ini bergantung kepada apa kesalahan yang dilakukan contohnya kalau dia menganjurkan perkara yang menyimpang daripada aqidah jadi kita boleh ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Surau Al-Marjan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Muda, di sini, hari ini.
Mohd Na’im turut menyeru masyarakat supaya memanfaatkan platform media sosial bagi tujuan kebaikan.
“Saya sudah sebut banyak kali bahawa platform media sosial ini boleh digunakan untuk syurga atau ke neraka.
“Allah SWT sebut dalam al-Quran kepada mereka hamba-hamba ini dua jalan sama ada jalan kebaikan atau jalan keburukan.
“Jangan kita gadaikan kehidupan kita khususnya hari akhirat dengan kita melakukan sesuatu perbuatan yang bercanggah dengan agama, ” ujarnya.
Terdahulu, pengguna laman Facebook mempersoalkan video seorang Youtuber yang menghasilkan kandungan seolah-olah program realiti antara lelaki dan wanita yang dikatakan membawa pengaruh barat dalam budaya tempatan.
Malah terdapat netizen yang berharap pihak berkuasa agama memberi perhatian dan membanteras perkara itu yang disifatkan boleh merosakkan remaja, sekaligus memberi pengaruh serta imej buruk kepada agama.
Dalam pada itu, youtuber terbabit tampil membuat penjelasan dalam satu video berdurasi 39 minit yang menerangkan perkara berkenaan di saluran YouTubenya pada Ahad lepas.
Antara penjelasan diberikan lelaki berusia 28 tahun itu adalah dakwaan mereka tinggal serumah lelaki dan wanita adalah tidak tepat sebaliknya ‘rumah’ itu adalah pejabat yang disewa sejak lapan bulan lalu dan direka seperti rumah.
Dia turut memberitahu, bakat pasukannya juga tidak tinggal bersama dan pasukannya mempunyai rumah berasingan serta pejabat itu hanya dijadikan tempat mereka membuat ‘content’.
Individu terbabit turut memohon maaf sekiranya dia pernah membuat kandungan video yang telah menimbulkan salah faham kepada orang ramai dan mengakui teguran terbuka di laman sosial berkenaan. – MalaysiaGazette