Suspek warga asing memilik dua warganegara dan melakukan aktiviti pengubahan wang haram dari luar negara menggunakan perbankan luar persisir (offshore) di negara ini.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya mematahkan aktiviti pengubahan wang haram dari luar negara menggunakan perbankan luar persisir (offshore) di negara ini dengan membekukan beberapa akaun hasil perjudian atas talian yang dianggarkan berjumlah hampir RM300 juta.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, modus operadi yang digunakan suspek warga asing itu adalah dengan memiliki dua kerakyatan bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Siasatan lanjut mendapati, sindiket ini memperoleh hasil daripada aktiviti haram dengan mengambil komisen dalam semua wang yang dipertaruhkan oleh pemain-pemain judi atas talian.

“Sindiket judi atas talian ini mempunyai seramai 10,000 orang pemain judi melibatkan jumlah perjudian dianggarkan berjumlah RM14.5 bilion yang dipercayai bergiat aktif sejak 2012 hingga 2020.

“Kita percaya sebahagian daripada keuntungan tersebut iaitu RM371 juta hasil aktiviti judi atas talian ini telah dipindahkan ke dalam akaun di Malaysia sejak 2023 hasil semakan dan risikan yang dilakukan,” katanya dalam sidang media khas di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Muhammed Hasbullah Ali.

Tambah beliau, susulan daripada itu pasukan AMLA telah membekukan beberapa harta termasuk akaun bank milik suspek di negara ini.

“Antaranya satu akaun sistem depositori pusat (CDS) dengan unit pegangang sebanyak 108, 625 unit yang dianggarkan bernilai lebih RM281 juta.

“Satu akaun dana dipegang secara amanah (ESCROW) berjumlah lebih RM19 juta yang dikendalikan oleh sebuah bank pelaburan tempatan yang dilesenkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA).

“Selain itu turut disita dua akaun bank tempatan bernilai RM58,048 yang berjumlah keseluruhan pembekuan adalah RM299.619 juta,” jelasnya.

Tegas beliau, pihaknya membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AKTA 613).

“Kita sedang giat mengesan suspek berusia lingkungan 30-an dan suspek tidak pernah memasuki ke negara ini, hanya melakukan urusan di luar persisir (offshore), Labuan sahaja.

“Difahamkan suspek telah disenarai notis merah daripada polis antarabangsa (INTERPOL) namun kewarganegaraan keduanya masih bebas untuk lelaki itu ke mana-mana.

“Sehubungan itu, kita meminta,kerjasama dari semua sektor swasta amat penting dalam menyalurkan maklumat aktiviti yang mencurigakan mengenai jenayah pengubahan wang haram kepada pihak polis,” ujarnya.

Beliau juga menggesa semua bank di luar pesisir supaya meningkatkan lagi proses usaha wajar atau ‘due diligence’ dan kenali pelanggan anda (KYC) atas mana-mana pihak yang hendak membuka akaun luar pesisir.

Muhammed Hasbullah berkata, tindakan tersebut bagi mengelakkan semua bank tersebut digunakan sebagai peralatan kesalahan jenayah ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast