KUALA LUMPUR – Sebanyak 286 inisiatif serta program perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan peruntukan berjumlah RM15.06 bilion telah dilaporkan dalam Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA) sehingga separuh penggal tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 10.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, terdapat 40 program berjumlah RM32.8 bilion yang sedang dikenal pasti perinciannya dan belum dilaporkan.
“Saya mengambil maklum mengenai perkara ini dan bersetuju untuk mewajibkan pelaporan pencapaian semua inisiatif keusahawanan dan pembangunan PMKS di semua kementerian, agensi dan juga kerajaan negeri.
“Bagi saya, ini penting bagi mengurangkan pertindihan program dalam kalangan agensi seterusnya mengurangkan pembaziran sumber kerajaan dan pelaporan ini meliputi penilaian petunjuk prestasi utama (KPI) meliputi output, outcome dan peruntukan serta mengharapkan komitmen tersebut dalam tempoh minggu dari tarikh mesyuarat ini berlangsung.
“Bagi saya, penyelarasan program PMKS berupaya memberikan impak yang signifikan dan ni jelas dibuktikan dengan pencapaian PMKS yang menunjukkan perkembangan positif hasil sokongan inisiatif dan intervensi Kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SEK-MPUPK) Bilangan 3 Tahun 2024 yang dipengerusikannya di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan timbalannya, Datuk R. Ramanan; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, penyelarasan program PMKS sesungguhnya berupaya memberikan impak yang signifikan.
Beliau berkata, ia jelas dibuktikan dengan pencapaian PMKS yang menunjukkan perkembangan positif hasil sokongan inisiatif dan intervensi kerajaan.
Katanya, terdapat pengurangan bilangan perusahaan bersaiz mikro sebanyak 16.9 peratus iaitu daripada 923,667 perusahaan pada 2022 kepada 767,421 perusahaan pada 2023.
Manakala bilangan perusahaan bersaiz kecil pula, jelasnya, meningkat sebanyak 35.8 peratus dan bilangan perusahaan bersaiz sederhana bertambah sebanyak 7.9 peratus.
“Ini adalah satu petunjuk bahawa PMKS tempatan telah mula beralih ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Mengenai Belanjawan 2025, Ahmad Zahid berkata, ia akan lebih pragmatik dan berusaha ke arah mewujudkan belanjawan yang seimbang.
Bagi kementeriannya, beliau berkata, fokus tidak hanya tertumpu pada pembangunan infrastruktur di luar bandar tetapi juga melihat peruntukan yang disediakan mewujudkan kesan berganda termasuk pembangunan ekonomi kawasan setempat.
Sebelum mempengerusikan Mesyuarat SEK-MPUPK itu, Ahmad Zahid juga berkesempatan melawat Hab PMKS yang terletak di SME Corp Malaysia.
Hab PMKS itu adalah platform pusat rujukan setempat bagi PMKS untuk memperoleh pengetahuan mengenai perniagaan dan mendapatkan khidmat nasihat perniagaan. – MalaysiaGazette