SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan wang fidyah berjumlah RM2.4 juta untuk diagihkan kepada pelajar yang kurang berkemampuan di enam Institut Pengajian Tinggi di Selangor dan dua buah agensi Islam.

Peruntukan wang fidyah sebanyak RM2.4 juta ini melibatkan agihan kepada 8,000 orang pelajar di seluruh negeri Selangor yang memenuhi syarat penerima agihan fidyah wang saku pelajar, menurut Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar.

Pelaksanaan Program Fidyah Wang Saku Pelajar dibuat secara berkumpulan kepada golongan sasar melibatkan kolaborasi dan kerjasama dari Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) dalam membantu MAIS mengenal pasti dan mengagihkan kepada penerima yang layak bagi memastikan sumbangan fidyah orang ramai dapat dimanfaatkan secara optimum demi kepentingan golongan yang memerlukan.

Sejumlah RM2.4 juta agihan wang saku fidyah diagihkan kepada pelajar yang memerlukan melalui RSAFM iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Selangor (UIS), Universiti Selangor (UNISEL), Management and Science University (MSU), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) mengikut bilangan pelajar yang layak.

Program Agihan Fidyah Wang Saku Pelajar merupakan salah satu daripada inisiatif untuk membantu pelajar dalam meneruskan kelangsungan kehidupan semasa belajar.

Setiap pelajar yang layak akan menerima RM300 setiap seorang sekali sahaja yang mana, program ini adalah salah satu dari agihan fidyah seperti bantuan makanan asas dan wang tunai.

Pada tahun 2023, MAIS telah berjaya mengagihkan fidyah dalam bentuk barangan asas dan tunai dengan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM11.9 juta. – MalaysiaGazette