HO CHI MINH CITY – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) telah mengadakan satu delegasi ilmu ke Ho Chi Minh City University of Technology and Education (HCMUTE) dengan kerjasama Education Malaysia Vietnam and Office of International Affairs.
Pengetua KHAR, Dr Che Anuar Che Abdullah berkata, lawatan ini bertujuan memperluas jaringan antarabangsa UPSI bersama HCMUTE dalam rangka jalinan perhubungan dua negara melalui pendidikan dan budaya.
“Lawatan ilmu ini bukan sahaja memperkaya pengalaman akademik dan budaya tetapi juga memperkukuh hubungan antara dua institusi pendidikan dan berharap ini menjadi langkah awal bagi lebih banyak kolaborasi yang berdampak besar pada masa mendatang,” katanya.
Tambahnya lagi, lawatan ini memberi pendedahan secara langsung kepada mahasiswa UPSI termasuk inovasi dalam teknologi pendidikan, kaedah pengajaran terkini, fasiliti serta infrastruktur dan sumber pembelajaran yang responsif dalam menyokong pendidikan yang lebih berkualiti.
Delegasi UPSI disambut hangat oleh perwakilan HCMUTE yang diketuai oleh Dr Tran Quang Tri, Deputy Director of the Office of International Affairs.
Sepanjang berada di Negara Vietnam, UPSI terus memperkasa pendidikan cemerlang melalui program khidmat kesukarelawanan dengan membangun ‘mini library KHAR’ di Madrasah Al-Nur.
Mini Library KHAR ini dilengkapi dengan pelbagai buku, bahan bacaan dan peralatan tulis yang sesuai untuk anak-anak berusia 7 hingga 12 tahun.
Inisiatif ini bertujuan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan komuniti sekali gus membawa perpaduan dan toleransi di antara negara Asia Tenggara.
Felo Penasihat Program Global Outreach UPSI to Vietnam, Norrulkamari Daud menjelaskan, program CSR ini adalah untuk membangun nilai kepimpinan bersahsiah dalam kalangan mahasiswa.
“Saya yakin perjalanan ini membawa nama UPSI ke kancah antarabangsa dan apa yang terpenting adalah untuk sama-sama kita bangunkan nama UPSI dan Malaysia dengan meninggalkan perkara yang positif serta memberi manfaat kepada masyarakat khususnya dalam bidang pendidikan dan sosial,” ujarnya.
UPSI akan terus komited dalam memperluas jaringan antarabangsa dalam bidang pendidikan dan pastinya akan membawa sesuatu yang bermanfaat buat pendidikan negara. – MalaysiaGazette