KEPALA BATAS – Seorang wanita warga emas maut selepas ditikam anak saudaranya menggunakan gunting pada bahagian kepala di sebuah rumah di Gelung Bubu, Pekan Darat, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 80 tahun itu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya.
Insiden jam 11 pagi itu turut mengakibatkan ibu kandung kepada suspek lelaki berusia 43 tahun itu turut mengalami kecederaan dan kini sedang rawatan di Hospital Kepala Batas.
MalaysiaGazette difahamkan, pergaduhan tercetus selepas suspek tidak puas hati dengan ibu saudaranya yang campur tangan dalam urusan dia dan ibunya.
Suspek yang dikatakan berang dengan tindakan ibu saudaranya itu tiba-tiba mencapai gunting di atas meja berhampiran sebelum menikam bahagian kiri kepala mangsa.
Susulan kejadian itu, suspek dikatakan mengamuk termasuk memecahkan cermin rumah saudaranya sebelum orang ramai menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, suspek yang dipercayai mempunyai masalah mental itu cuba melarikan diri selepas kejadian dan tindakan pantas polis berjaya memberkasnya tidak jauh dari lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Suspek akan direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette