Dari kiri) Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Ketua Pegawai Pemasaran ikhlas.com, Fara Hasan sewaktu menyambut kepulangan atlet Malaysia dari Sukan Olimpik Paris di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1. Foto Ihsan AirAsia.

KUALA LUMPUR – Impian atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tercapai apabila Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn. Bhd. (ikhlas.com) mengumumkan tajaan pakej umrah untuk beliau dan kedua ibu bapanya.

Kejutan istimewa itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin sewaktu segmen pagi menerusi radio Hot FM semalam bersama adiknya yang juga merupakan pelumba berbasikal trek negara, Ridwan Sahrom.

“Apabila menonton temuramah Shah selepas pelanggaran itu, beliau nampak betul-betul sebak dan impian dia untuk bawa ibu bapa (tunai) umrah tu ‘real’, memang dia teringin sangat nak bawa mereka. Jadi, saya tergerak hati nak berkongsi rezeki bersama Shah dan ibu bapa beliau.

“Kami sangat-sangat bangga dengan Shah. Apa yang terjadi telah terjadi, itu semua adalah takdir Allah. Semoga apa yang berlaku ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan untuk sesuatu yang jauh lebih baik, insha-Allah. Tahniah kepada seluruh keluarga Shah Firdaus,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ridwan berkata, bagi pihak Shah dan juga keluarga, beliau mengucapkan terima kasih atas bantuan yang iklhas.com yang menaja ibu, ayah dan abangnya menunaikan umrah.

Shah Firdaus yang mempamerkan semangat juang tinggi sebelum terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keenam pada final keirin kecewa apabila impiannya untuk membawa pulang pingat menerusi acara keirin lelaki di Sukan Olimpik 2024 tidak kesampaian.

Beliau meluahkan kekecewaan berganda atas kegagalan membawa pulang emas kerana telah berjanji untuk membawa ibunya menunaikan umrah sekiranya meraih kemenangan pada acara keirin di Paris itu.

Pelumba basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri tiba selepas menamatkan temasya Sukan Olimpik Paris 2024 di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang. Foto SADIQ SANI, 13 OGOS 2024

Sementara itu, Shah Firdaus terkejut apabila dimaklumkan tentang berita gembira itu oleh Ketua Pegawai Pemasaran ikhlas.com, Fara Hasan ketika menyambut beliau dan atlet kebangsaan lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada ikhlas.com kerana menunaikan hasrat yang telah disimpan sekian lama untuk membawa kedua-dua ibu bapanya mengerjakan umrah di Tanah Suci.

Dilancarkan sewaktu pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform kembara dan gaya hidup Muslim direka khusus untuk membantu umat Islam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mudah.

Selain ikhlas.com Umrah dan tawaran pelancongan halal dengan usahasama syarikat penerbangan subsidiari, AirAsia X, ikhlas.com turut memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah dan Qurban. – MalaysiaGazette