Pulau Rusukan Besar merupakan pulau kedua terbesar daripada tiga pulau yang terletak dalam sempadan Taman Laut Labuan.

LABUAN – Nama Pulau Rusukan Besar barangkali tidak sepopular seperti Pulau Tioman dan Pulau Perhentian yang terletak di Semenanjung Malaysia.

Namun siapa sangka yang terletak di barat daya Labuan itu mampu menarik produksi luar negara dari dari Korea Selatan menjalani program realiti berjudul Survival King baru-baru ini.

Gara-gara disertai ramai selebriti terkenal – nama Pulau Rusukan Besar dan Labuan tiba-tiba mencuri tumpuan peminat K-Pop dan pencinta program realiti survival di media sosial.

Program itu merupakan sebuah rancangan realiti survival apabila 12 peserta bersaing untuk menunjukkan kebolehan masing-masing dalam pelbagai aspek seperti kemahiran hidup, kebolehan fizikal, kekuatan mental dan kemahiran strategik di alam liar.

Pulau Rusukan Besar berkeluasan 0.12 kilometer.

Justeru bagi membongkar keunikan yang dimiliki di Pulau Rusukan Besar, kehadiran MalaysiaGazette ke sana hujung minggu lalu telah membongkar rahsianya.

Pulau itu rupa-rupanya kaya dengan keindahan alam semula jadi yang tidak disentuh dan pemandangan menakjubkan.

Untuk sampai ke sana, pengunjung akan menaiki bot dari Jeti Jabatan Kastam Kiamsam dengan ditemani deruan ombak selama 30 minit sebelum bertukar ke bot kecil untuk menyambung perjalanan selama 15 minit.

Sebaik menjejaki kaki di tanah berkeluasan 0.12 kilometer, Pulau Rusukan Besar merupakan pulau kedua terbesar daripada tiga pulau yang terletak dalam sempadan Taman Laut Labuan.

Pulau itu boleh dikelilingi dengan berjalan kaki dalam masa kira-kira setengah jam. Bagi pengunjung yang gemarkan cabaran, mereka juga berpeluang menjelajah hutan mengelilingi pulau secara santai untuk melihat secara dekat pelbagai spesies tumbuhan.

Dataran hakisan lautnya mempamerkan struktur kekar kotak dan sesar yang sangat unik.

Pengunjung juga boleh mencuba kemudahan rekreasi termasuk bermain bola tampar dan bola sepak pantai selain dapat menguji keberanian dengan berkayak dan memancing berhadapan cabaran gelora ombak.

Yang pasti jauh dari hiruk-pikuk kota, pulau ini pasti menjadikan privasi dan rehat minda yang cukup luar biasa kepada pengunjung.

Dikenali juga sebagai Pulau Rugokan Besar kepada penduduk tempatan, ia juga terkenal dengan lokasi aktiviti menyelam kepada mereka yang meminati dunia bawah air yang dipenuhi dengan hidupan marin menarik.

Lebih menarik, Pulau Rusukan Besar turut menjadi salah sebuah Pusat Konservasi Penyu di bawah Lembaga Perikanan Malaysia di mana bermula 2011 hingga 2023 sebanyak 21,203 anak penyu berjaya dihasilkan di sini dari spesis Karah dan Agar.

momen indah bersantai di tepian pantai sambil dihiburkan deruan ombak mengikat kenangan

Keunikan pulau itu juga  memiliki kekar merujuk kepada patahan lurus dalam batuan yang tidak menunjukkan pergerakan manakala sesar pula adalah patahan yang menunjukkan pergerakan pada jasad batuan.

Dataran hakisan lautnya mempamerkan struktur kekar kotak dan sesar yang sangat unik  di mana kekar adalah manifestasi kepada proses tektonik yang aktif berlaku di bahagian barat Borneo pada masa lampau dan ia dikenali sebagai Tesselated Pavement.

Sepanjang dua hari satu malam berada di pulau itu sempena Program Pembersihan dan Pengindahan Pulau Rusukan Besar anjuran kerjasama strategik antara Jabatan Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan dan Yayasan Sukarelawan Siswa – ada hati yang tertinggal di sana.

Apa tidaknya, momen indah bersantai di tepian pantai sambil dihiburkan deruan ombak mengikat kenangan apabila bayu berpuput lembut serta keindahan butir-butir pasir  menambahkan lagi keasyikan menikmati keindahan alam ciptaan tuhan.

Pemandangan senja yang cukup indah.

Di sana, pengunjung boleh menginap di satu-satunya resort iaitu Labuan Rusukan Besar Resort yang memberi tambah nilai kepada industri pelancongan di Wilayah Persekutuan.

Ini kerana pemilik resort, Jeffrey Lee bijak menggabungkan satu suasana menarik apabila keindahan alam bersatu dengan menyediakan menu makanan yang menggamit selera.

Hasil ilham kreatifnya itu menjadikan resort yang beroperasi sejak 2016 memberi kelainan daripada destinasi percutian pulau di negara ini.

Malah resort yang sama menyediakan konsep percutian mampu milik dan santai di mana pengunjung tidak perlu risau dengan perbelanjaan yang dikeluarkan.

Mungkin ramai yang terkejut dengan harga yang akan dikenakan kerana ramai sering menyangka percutian di pulau memerlukan kos yang besar.

Pulau Rusukan Besar turut menjadi salah sebuah Pusat Konservasi Penyu di bawah Lembaga Perikanan Malaysia.

Namun Labuan Rusukan Besar Resort hanya menawarkan harga berpatutan serendah RM390 untuk seorang bagi pakej lengkap.

Resort juga menjanjikan percutian berbaloi wang ringgit bagi mereka yang gemarkan keindahan alam semula jadi apatah lagi hanya memiliki lapan bilik berhawa dingin dan bilik air di dalamnya yang menanti pengunjung.

Kemudahan disediakan cukup mementingkan tahap perkhidmatan berkualiti dan suasana damai yang eksklusif. Ini kerana pengunjung pasti pulang dengan rasa berpuas hati selepas menikmati suasana rehat yang menyeronokkan.

Paling penting, kualiti perkhidmatan kakitangannya yang memberi layanan mesra mereka kepada pengunjung sepanjang masa tanpa mengira sama ada tempatan mahu luar negara. – MalaysiaGazette

Labuan Rusukan Besar Resort menjanjikan percutian berbaloi kerana mempunyai lapan bilik berhawa dingin yang privasi.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast