Sebuah kereta Toyota Vios dan lori Toyota Dyna Hiace bertembung di Kilometer 12, Jalan Kuala Selangor-Rawang, dekat Kampung Kuantan, Kuala Selangor, semalam

KUALA SELANGOR – Mangsa nahas dua kenderaan antara kereta Toyota Vios dan lori Toyota Dyna Hiace yang bertembung di Kilometer 12, Jalan Kuala Selangor-Rawang di Kampung Kuantan, di sini, dilaporkan stabil.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin yang mengesahkan perkara itu berkata, mangsa terbabit Norshaniza Mohamad Nayan, 34 dan pemandu lori berusia 58 tahun.

“Kedua-dua mangsa stabil,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sementara itu, Mohd Ambia memberitahu, mayat kanak-kanak perempuan yang terlibat dalam nahas sama, Nur Arissa Safiyya Mohd Azril, 8, sudah dituntut ahli keluarga.

“Lokasi pengkebumian tidak dapat dipastikan kerana ia diurus oleh waris,” katanya.

Terdahulu, seorang kanak-kanak perempuan maut, manakala ibunya parah dalam nahas jam 2 petang itu.

Nur Arissa Safiyya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang, jam 5 petang, semalam.

Ketika kejadian, Norshaniza dan anak perempuannya dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan Bestari Jaya ke kediamannya di Kuala Selangor.

Siasatan awal mendapati Toyota Vios dinaiki mereka disyaki hilang kawalan semasa melalui selekoh dan terbabas ke laluan bertentangan, sebelum bertembung dengan lori.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette