Ahli keluarga berada di di Jambatan Kota, Majlis Bandaraya Diraja Klang, lokasi terakhir Nidza Afham dikesan malam tadi. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki  yang ditemukan dekat Sungai Klang berhampiran Jambatan Kota, Klang petang tadi disahkan sebagai Muhammad Nidza Afham.

Pengesahan itu dibuat oleh Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi sebentar tadi.

Mayat itu ditemui kira-kira jam 7 petang tadi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, lebih kurang satu kilometer dari lokasi asal mangsa dilaporkan hilang.

MalaysiaGazette difahamkan mayat tersebut kini berada di Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat.

Lokasi Nidza Afham yang dilaporkan hilang selepas keluar berjogging semalam. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2024.

Terdahulu, tular gambar bapa kepada Muhammad Nidza  yang melaungkan azan di atas jambatan, lokasi terakhir anaknya dilaporkan kelihatan.

Azan yang dilaungkan sebagai ikhtiar dalam usaha mereka mencari mangsa dan tidakidak lama kemudian, mayat Muhammad Nidza ditemui.

Muhammad Nidza, 23, dilaporkan keluar rumah jam 7.45 petang semalam dan dilaporkan tidak pulang sehingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata,  pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada adik mangsa pada 4.22 pagi, yang menyatakan abangnya ketika itu memakai baju biru hitam keluar dari rumah di Bandar Puteri, Klang menggunakan perkhidmatan pengangkutan e-hailing ke Stadium Sultan Sulaiman, Klang untuk berjoging.

Ahli keluarga kepada Nidza Afham yang berada di Jambatan Kota, Majlis Bandaraya Diraja Klang ketika anggota bomba menemui mayat mangsa. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2024.

Pada 9.04 malam, teman wanita Muhammad Nidza Afham menghubungi beliau dan mendapati panggilan tersebut tidak dapat disambungkan.

“Teman wanitanya mendapati lokasi terakhir keberadaan Muhammad Nidza Afham menerusi aplikasi ‘Find My Iphone’ adalah di Jambatan Kota yang terletak berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Cha berkata, adik kepada Muhammad Nidza Afham pergi ke lokasi terakhir itu dan menjumpai telefon pintar iPhone serta dompet berisi dokumen milik abangnya seperti kad pengenalan dan kad pelajar.

“Bagaimanapun, didapati kad ATM Muhammad Nidza Afham telah hilang,” katanya. – MalaysiaGazette