seorang remaja perempuan, Raisya Rasyiqah Mohd Rashdan yang dilaporkan hilang di Pekan Beranang, Selangor sejak Isnin lalu.

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta membantu mengesan seorang remaja perempuan, Raisya Rasyiqah Mohd Rashdan yang dilaporkan hilang di Pekan Beranang dekat sini sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan remaja berusia 15 tahun itu sekitar 10.03 malam.

“Remaja itu balik sekolah lewat 1.40 tengah hari, ibunya telah mencari dan jumpa dia di kawasan Beranang di sini pada pukul 6.40 petang.

“Remaja itu tidak mahu balik dan melarikan diri serta gagal dikesan sehingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Naazron, remaja terbabit berketinggian 148 sentimeter dengan berat kira-kira 40 kilogram serta berkulit warna sawo matang.

“Raisya Rasyiqah berbadan sederhana, memakai cermin mata, pakaian baju kemeja T kadet polis, seluar sukan biru tua dan bertudung ungu,” katanya.

Susulan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-891 14222. – MalaysiaGazette