KUALA LUMPUR – Polis menahan Geng Putra yang terdiri tujuh lelaki termasuk tiga warga asing disyaki mencuri kabel di sebuah tapak pembinaan di Jalan Segambut di sini pada 22 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kesemua suspek berusia 29 hingga 43 tahun itu ditahan dalam serbuan di sekitar Lembah Klang pada 25 Julai lalu.
“Empat suspek tempatan yang ditahan dipercayai melakukan kegiatan mencuri kabel manakala tiga warga asing berperanan sebagai transporter dan pembeli kabel.
“Mereka disyaki melakukan kegiatan itu sejak Jun tahun lalu bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Susulan tangkapan itu, pihaknya turut merampas empat kenderaan, 10 telefon bimbit, enam guni gumpalan wayar, satu plastik mengandungi gumpalan penebat kabel, 35 gulungan wayar kabel yang sudah dipotong dan beberapa peralatan memotong kabel dengan keseluruhan rampasan dianggarkan RM150,000.
Ahmad Sukarno berkata, modus operandi sindiket terbabit didalangi oleh individu bernama Putra adalah menyasarkan kabel, besi copper dan aluminium di tapak projek dan perumahan.
“Tiga daripada tujuh suspek itu mempunyai pelbagai rekod jenayah dan hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati kesemua suspek negatif dadah.
“Kami masih mengesan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang dipercayai terbabit dengan sindiket itu,” jelasnya.
Tambah beliau, susulan penahanan kesemua suspek terbabit polis berjaya menyelesaikan 11 kes kecurian kabel di ibu negara.
“Kesemua lelaki itu sudah diserahkan ke IPD Gombak untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette