BALIK PULAU – Dua pekerja warga Myanmar yang bekerja di restoran masakan ala Thai didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegara mereka pada 5 Ogos lalu.
Lay Zin Ton, 24, dan Myo Kyaw Hein, 20, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Chia Huey Ting.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh telah mencapai niat bersama untuk membunuh Saw James iaitu lelaki warga Myanmar.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu restoran Bukit Genting Hill Leisure Park di Jalan Teluk Kumbar, Bayan Lepas di sini pukul antara 11 malam pada 4 Ogos hingga 3 pagi, 5 Ogos lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya dikenakan hukuman penjara hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani manakala tiada peguam mewakili kedua-dua tertuduh.
Mahkamah menetapkan 3 Disember depan bagi sebutan semula kes dan laporan ujian padanan asid deoksiribonukleik (DNA).
ARTIKEL BERKAITAN:
MalaysiaGazette pada 5 Ogos lalu melaporkan polis menahan pemilik sebuah restoran masakan ala Thai serta lapan pekerja warga Myanmar bagi membantu siasatan kes bunuh rakan senegara mereka dalam kejadian di Bukit Genting di sini.
Pembunuhan lelaki warga Myanmar berusia 30 tahun itu terbongkar selepas pihak polis menerima panggilan berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat ditikam rakan sekerja pukul 3.15 pagi. – MalaysiaGazette