KUALA LUMPUR – Sekumpulan mahasiswa UiTM terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam Sesi 2022/2023 telah menganjurkan program Rays Of Hope For Uyghur Refugee Children.
Ia merupakan salah sebuah inisiatif dalam program UiTM Kickstart: International Student Empowerment 2024 di Istanbul, Republik Turkiye, baru-baru ini.
Pengarah Program itu, Alya Ellyana Zulkarnain berkata, program dengan kerjasama Persatuan Tumbuh Insan (TUMBUH) itu berkonsepkan Tanggungjawab Sosial Program (CSR) yang bertujuan membawa sinar harapan dan memberi sokongan holistik kepada kanak-kanak pelarian Uyghur.
“Dalam program ini juga, MPP UiTM juga telah memberi sumbangan sebanyak 21,260 Turkish Lira (RM 2,800) yang dikumpul melalui hasil kutipan derma.
“Antara pengisian program termasuklah beberapa sesi aktiviti khusus untuk mengasah dan memperkukuh kecerdasan emosi kanak-kanak melalui permainan kreatif yang dapat mengurus emosi.
“Selain itu, kanak-kanak ini juga didedahkan dengan aktiviti permainan interaktif seperti mewarna dan melukis untuk mengasah kreativiti mereka.
“Akhir sekali, mereka dapat mengasah inovasi diri melalui pengajaran pembuatan “slime” yang memerlukan kesabaran, teknik yang betul dan juga inovasi bagi memastikan “slime” tersebut menjadi seperti yang diharapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Alya Ellyana berkata, pihaknya berharap agar dengan inisiatif yang telah diberikan sedikit sebanyak dapat meringankan beban pengurusan harian bagi kanak-kanak pelarian Uyghur ini.
Beliau berterima kasih kepada Persatuan Tumbuh Insan (TUMBUH), dan kepada semua penderma yang memberikan sumbangan.
“Untuk makluman, sumbangan ini telah pun diserahkan sendiri oleh Pengarah Program kepada Pengetua Uyghur Science and Cultural Research Foundation Turkiye semasa hari program tersebut.
“Secara keseluruhan, inisiatif ini sedikit sebanyak dapat memberikan peluang kepada peserta program dalam berkolaborasi bersama persatuan NGO luar negara dalam menyantuni komuniti luar.
“Melalui program ini juga peserta akan dapat menyaksikan sendiri bagaimana kanak-kanak pelarian ni hidup di bumi Turkiye dan dapat belajar di sekolah seperti kanak- kanak lain walaupun bukan di negara sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette