Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan MYAirline Sdn Bhd membatalkan saman Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd dan Malaysia Airports Sdn Bhd yang menuntut syarikat itu membayar RM17.7 juta susulan kegagalannya melunaskan caj perkhidmatan lapangan terbang.

Untuk makluman, MYAirline mendakwa Malaysia Airports tidak sepatutnya membawa kes terhadap mereka ke mahkamah sebaliknya menggunakan mekanisme penyelesaian pertikaian di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) 2015.

Namun Hakim Mahkamah Tinggi, Gan Techiong memutuskan untuk menolak permohonan itu atas alasan penyelesaian pertikaian di bawah Seksyen 74 dan 78 Akta itu tidak terpakai kerana peruntukan itu tidak meliputi pertikaian mengenai caj lapangan terbang.

Sebaliknya, kata Techiong, kuasa untuk memerintahkan bayaran lapangan terbang adalah terletak pada mahkamah sivil dan beberapa tribunal terpilih seperti mahkamah perindustrian dan tribunal pembeli yang diberi kuasa melalui Akta Parlimen.

“MAVCOM tidak mempunyai kuasa di bawah Seksyen 74 dan 75 untuk memutuskan pertikaian kontrak antara perkhidmatan penerbangan.

“Mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman kedua-dua plaintif terhadap defendan. MAVCOM tidak mempunyai kuasa mendengar pertikaian ini  kerana lesen perkhidmatan penerbangan MYAirline telah pun dibatalkan tahun lepas,” katanya ketika prosiding hari ini.

Mahkamah juga mengarahkan MYAirline membayar kos keseluruhan RM30,000 kepada plaintif.

Pada 24 Nov tahun lepas, MYAirline memfailkan permohonan tersebut atas alasan plaintif perlu menggunakan satu mekanisme penyelesaian pertikaian seperti dinyatakan dalam Seksyen 74 hingga 78 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 sebelum memfailkan saman tersebut.

Dakwa MYAirline, tindakan plaintif adalah tidak sah atau pramatang kerana mereka tidak mematuhi serta tidak menggunakan mekanisme penyelesaian pertikaian tersebut.

Manakala kedua-dua plaintif membantah permohonan tersebut kerana mekanisme penyelesaian di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia tidak terpakai untuk perkara itu.

Selain itu, kedua-dua plaintif juga memfailkan permohonan untuk mendapatkan penghakiman terus pada 9 Nov 2023 atas alasan wang dituntut daripada defendan masih terakru dan terhutang selain defendan tidak mempunyai sebarang pembelaan terhadap tindakan saman itu.

Malaysia Airports (Sepang) dan Malaysia Airports Sdn Bhd selaku plaintif memfailkan saman itu pada 18 Oktober 2023 dengan mendakwa MYAirline sebagai defendan gagal membayar enam jenis caj perkhidmatan kepada kedua-dua plaintif yang keseluruhannya berjumlah RM17,747,553.02.

Dakwanya, caj tertunggak yang perlu defendan bayar adalah perkhidmatan penumpang (PSC) dan perkhidmatan keselamatan penumpang (PSSC) berjumlah RM10,863,478.90, pendaratan (RM5,445,555,45), tempat letak pesawat (RM176,017.92), aerobridge (RM655,760), kaunter daftar masuk (RM267,367) dan pembayaran lewat (RM339,373.72).

Plaintif mendakwa defendan tidak pernah mempertikaikan kandungan invois dan penyata akaun dikeluarkan syarikat penerbangan itu dalam masa 30 hari.

Sehubungan itu, plaintif menuntut defendan antaranya membayar caj tertunggak berjumlah RM17,747,553.02 kepada syarikat penerbangan itu khususnya RM9,111,402.94 kepada plaintif pertama dan RM8,636,150.08 kepada plaintif kedua, ganti rugi am dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast