KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seorang wanita yang juga pembantu peribadi kepada seorang pelakon wanita selepas disyaki mencuri barang kemas milik selebriti itu di Taman Cempaka dekat sini baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazruel Ekram Abu Saare berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku di rumah pengadu berusia 32 tahun di Ampang pada 26 Jun lalu.
Pengadu menyedari rantai emas miliknya tiada dalam simpanan dan bertanya kepada suspek yang merupakan pembantu peribadinya tetapi suspek menafikannya.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dua gelang emas dan satu rantai emas milik anak pelakon itu turut tiada dalam beg tangan dan mengesyaki suspek telah mencuri barang-barang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat ini, jumlah keseluruhan kerugian yang dialami pelakon wanita itu dianggarkan bernilai lebih kurang RM30,000.
Tambah beliau, semakan lanjut polis juga mendapati pada Mac lalu, pengadu juga pernah kehilangan wang tunai miliknya sebanyak RM10,000.
Bertindak atas laporan polis yang diterima daripada pelakon wanita itu, pada 14 Ogos lalu, pihaknya telah membuat tangkapan terhadap seorang wanita tempatan di Perkarangan Ibupejabat Polis Daerah Gombak.
“Semakan polis juga mendapati suspek berusia 28 tahun itu memiliki dua rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah komersial.
“Wanita itu kemudian telah dibawa ke Mahkamah Ampang sebelum suspek direman selama empat hari bermula Khamis hingga 18 Ogos depan bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.
Kes masih berada dalam siasatan dan beberapa rakaman percakapan dibuat termasuk pelakon wanita itu bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri di dalam bangunan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette