Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan Mahadir Abdul Hamid diteruskan dengan bantuan orang kampung, anggota penyelamat serta dua ekor anjing pengesan di Sungai Pahang dekat Kg Kiambang Mukim Ganchong Pekan hari ini

KUANTAN – Mangsa yang disyaki lemas, Mahadir Abdul Hamid sejak Rabu lalu dan masih belum ditemui sepatutnya menjalani rawatan psikiatri  hari ini.

Anak saudara mangsa, Muhammad Shazwan Abdul Musalleb, 31, berkata, bapa saudaranya itu masih belum ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sehingga hari ini.

”Sepatutnya kami sekeluarga perlu membawa Acu (panggilan mangsa) menjalani rawatan psikitari di Hopital Pekan hari ini. Tarikh di buku temu janji ialah 16 Ogos namun kuasa Allah siapa tahu.

”Perkembangan rawatannya semakin baik kerana kami sekeluarga sentiasa memantau tahap kesihatan beliau,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ujarnya penemuan selipar mangsa di atas tunggul  kayu di sungai di mana dia dilaporkan hilang  menguatkan tanda-tanda bapa saudaranya itu lemas.

Shazwan berkata, meskipun adik bongsu ayahnya itu mahir berenang kerana sering memancing di kawasan yang sama namun air yang deras memungkinkan lelaki berkenaan gagal menyelamatkan diri.

”Siang kejadian  pada Rabu lalu, air tohor (cetek) boleh nampak pasir tapi bila petang tu memang air sudah naik.

”Kami semua sudah reda jika dia sudah tidak ada tetapi biarlah jumpa jasad dia,” katanya lagi.

Tambah Syazwan meskipun anak bongsu daripada 10 beradik itu menghidap schizophrenia lebih kurang 15 tahun lalu,  keluarga tidak pernah menyisihkan Mahadir sebaliknya memberikan perhatian khusus sejak mangsa kehilangan orang tua.

Malahan sebagai anak saudara, dia berkongsi kenangan ketika menjaga mangsa di rumah selepas pulang menerima rawatan di hospital.

Syazwan berkata, sokongan keluarga oleh adik-beradik mangsa tidak pernah putus seperti menghantar dan menemani Mahadir menerima rawatan di hospital selain berusaha berubat tradisonal.

”Kami sekeluarga sedih kerana adik-adik beradik ayah semua kumpul duit membaiki dan membina rumah kecil untuknya apabila perkembangan rawatannya semakin baik.

”Alhamdulillah dia pembersih pandai urus diri, setiap hari dia akan pergi ke rumah ibu saudara kami yang jarakanya hanya lima meter dari rumahnya.

”Rumah itu baru dia duduki sejak Februari lalu dan memang akan pulang ke rumah setiap hari,” katanya.

Kali terakhir Shazwan bertemu pemegang kad orang kelainan upaya mental itu pada minggu lepas dan mangsa dikatakan sempat meminum air di rumah kakaknya sebelum dilaporkan hilang.

Difahamkan ketika itu mangsa berpakaian seluar jeans jenama Adidas berwarna biru gelap dan tidak berbaju.

Semalam media melaporkan  seorang lelaki OKU dikhuatiri lemas di Sungai Pahang di Kampung Kiambang Ganchong, Pekan setelah gagal ditemui sejak Rabu lalu.

Operasi pencarian dimulakan semalam dan diteruskan pada hari kedua dengan meluaskan radius kawasan pencarian selain penggunaan dua ekor anjing pengesan bagi menjejak mangsa berhampiran sungai. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lelaki OKU disyaki lemas di Sungai Pahang

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast