Onn Hafiz meninjau Zoo Johor di Bandar Raya Johor Bahru, hari ini, yang sudah siap dinaik taraf dan bakal dibuka semula pada 31 Ogos ini

JOHOR BAHRU – Zoo Johor yang ditutup tiga tahun lalu untuk kerja-kerja ubah suai dan naik taraf akan kembali dibuka semula pada 31 Ogos ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bakal merasmikan pembukaan semula zoo berkenaan pada 28 Ogos ini.

“Bagi meraikan pembukaan semula zoo tersebut, diskaun sebanyak 50 peratus akan diberi untuk pengunjung dewasa manakala kanak-kanak masuk secara percuma selama sebulan.

“Harga yang ditetapkan untuk pengunjung dewasa adalah RM10, manakala bagi kanak-kanak adalah RM5. Manakala harga bagi pengunjung bukan warganegara adalah RM30.

“Sementara itu, waktu operasi Zoo Johor adalah bermula pukul 9 pagi sehingga 6 petang, dengan tiket terakhir dijual pada pukul 5.

“InshaAllah pembukaan semula Zoo Johor ini adalah perkara yang dinanti-nantikan oleh semua penduduk Johor dan juga rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan kerja ke Zoo Johor, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.

Onn Hafiz berkata, Zoo Johor menempatkan sebanyak 275 ekor haiwan termasuk harimau, gajah, unta, buaya, burung-burung dan lain-lain.

“Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati dengan kerja-kerja naik taraf yang telah dilakukan ini dan pastinya pembukaan semula Zoo Johor ini akan merancakkan lagi sektor pelancongan Johor,” ujarnya.

Zoo Johor yang terletak di pusat bandar raya ini mula dibuka pada tahun 1928 dan merupakan zoo tertua di negara ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast