Gambar hiasan

Oleh: Dr Safiyyah Ahmad Sabri

PERSEKITARAN pekerjaan yang sihat merupakan antara faktor terpenting dalam menjamin kesejahteraan dan kemaslahatan pekerja sesebuah organisasi. Selain kepimpinan yang adil dan saksama, persekitaran pekerjaan juga menjadi nadi kepada kecemerlangan atau keberkesanan sesebuah pengurusan organisasi. Namun begitu, persekitaran pekerjaan seringkali menjadi rungutan pekerja-
pekerja baik daripada sektor awam, mahupun sektor swasta. Malah, rungutan yang biasa didengar hampir sama coraknya, terutamanya dari segi wujudnya kumpulan yang berpuak-puak dan mendominasi tempat kerja sehingga mengganggu sistem persekitaran pekerjaan yang sihat.

Kita dapat lihat corak berbentuk stereotaip ini yang akhirnya membawa kepada satu kesimpulan; iaitu semua tempat kerja adalah sama walau ke mana sekalipun seseorang pekerja ingin berpindah kerana mahukan suasana persekitaran pekerjaan yang sihat. Namun akhirnya, mendapat kesimpulan yang sama bahawa budaya tidak sihat ini berlaku di mana-mana sahaja. Persekitaran berpuak-puak ini boleh dilihat dari sudut positif dan juga negatif. Dari sudut positifnya, ikatan yang terjalin di antara kalangan ahli boleh menjadi erat dan bermakna. Malah, ia boleh menjadi faktor penyebab atau motivasi untuk berasa seronok ke tempat kerja. Dari sudut positif yang lain, kebiasaannya budaya ini juga sebenarnya saling mendukung atau menjaga kemaslahatan di antara satu sama lain
kerana atas dasar persahabatan yang kuat dan sikap mengambil berat.

Namun begitu, dari sudut negatifnya, ia boleh memberikan mudarat kepada kumpulan atau individu yang lain apabila dominasi yang berlaku dilakukan secara tidak adil. Lebih-lebih lagi apabila terdapat ahli dalam kalangan kumpulan ini yang diberi kuasa dari segi pengurusan contohnya, yang mampu memberikan ahli tersebut kelebihan untuk memilih yang mana secara jelasnya akan memihak kepada ahli-ahli dalam kumpulan yang sama sahaja. Ini akan menyebabkan suasana berat sebelah atau ketidakadilan yang berlaku kepada pekerja-pekerja yang lain terutamanya yang tidak tergolong dalam mana-mana kumpulan atau lebih selesa bergerak sendiri. Persekitaran seumpama ini akan lebih menjadi parah apabila kelayakan atau ruang dan peluang kepada pekerja-pekerja lain
diketepikan atau dinafikan kerana tidak mempunyai apa-apa kepentingan kepada kumpulan terbabit.

Keadaan tentunya akan menjadi lebih buruk apabila disokong pula oleh ketua-ketua yang dilantik yang juga mempunyai niat untuk menjaga kepentingan sendiri atau wujudnya suasana ‘favoritsme’ yang seringkali juga berlaku dalam sesebuah organisasi. Golongan ketua atau pemimpin seumpama ini biasanya sedar tentang persekitaran tidak sihat ini namun mengambil tindakan tidak acuh kerana ingin atau terpaksa menjaga kepentingan sendiri sedangkan mereka lupa bahawa mereka dilantik atas dasar kepercayaan untuk memimpin dengan adil dan menjaga kebajikan dan kemaslahatan setiap ahli atau pekerja yang berada di bawahnya.

Dominasi tidak sihat dari kumpulan-kumpulan ini sebenarnya membunuh sedikit-demi sedikit rasa ‘belonging’ atau ‘kepunyaan’ terhadap sesebuah unit, jabatan, atau organisasi itu sendiri. Malah, ia juga menyekat secara langsung rasa ikhlas pekerja-pekerja lain untuk menyumbang kepada organisasi kerana diselubungi rasa teraniaya, kecewa dan marah kerana tidak diberi peluang dan ruang untuk mengembangkan karier mereka dalam organisasi.

Lebih menyedihkan, penghargaan juga seringkali diberikan kepada pekerja yang sama terutamanya yang berada dalam kumpulan tersebut malah berulang-ulang kali sehingga menyisihkan pekerja-pekerja yang lain. Pun begitu, atas dasar mementingkan sendiri, tentunya golongan ini tidak mempedulikan perasaan dan kepentingan atau hak orang lain yang mana juga boleh membunuh rasa motivasi pergi ke tempat kerja atau berputus asa untuk memberikan komitmen yang terbaik untuk organisasi yang mana merupakan satu kerugian yang besar kepada organisasi tersebut.

Dari perspektif Islam, kumpulan berpuak ini boleh juga disebut sebagai ‘Assobiyah’ yang mana Ibn Khaldun telah mengklasifikasikannya kepada dua iaitu Assobiyah Islamiah dan Assobiyah Jahiliyah. Assobiyah Islamiah merupakan semangat bermuafakat dan persefahaman yang terbentuk dalam sesebuah struktur sosial masyararat sehingga terbinanya budaya sikat tolong-menolong dan bekerjasama di antara satu sama lain.

Assobiyah Islamiah ini mempunyai makna dan ciri yang jika dipraktikkan akan menyumbang kepada perpaduan dan etika sosial dalam hubungan manusia Manakala Assobiyah Jahiliyah pula merupakan sikap membela kaumya secara membuta tuli secara bermati-matian sehingga tidak dapat membezakan perkara yang haq dan batil. Dalam hal ini, membuta tuli merujuk kepada mendiskriminasikan hak kaum yang lain kerana tamak terhadap kuasa dan harta benda.

Amalan Assobiyah Jahiliyah ini boleh dilihat melalui budaya nilai yang sombong kerana merasakan kuat kerana ramai, tidak rasional sehingga menolak kebenaran dan keadilan hanya kerana sentimen kepentingan kumpulan itu semata-mata. Menurut Majalah Dakwah, ini bertentangan dengan syarak dan Nabi Muhammad SAW iaitu apabila Assobiyah yang berlaku mempunyai elemen penindasan dan perbuatan zalim dan mengenepikan zat atau kebaikan Assobiyah itu sendiri.

Dalam erti kata lain, sebagai seorang dewasa yang beragama lebih-lebih lagi yang beragama Islam, perkara seperti ini sudah pasti tidak berlaku jika dibekalkan dengan iman yang kuat dan rasa kasih sesama manusia. Ini kerana perbuatan mendiskriminasi hak atau peluang orang lain ini boleh dikategorikan sebagai ‘zalim’ dan menganiaya pekerja-pekerja yang berasa tertindas. Dalam hal ini, boleh dikatakan hampir tiada perbincangan atau musyawarah yang berlaku bagi memberi penjelasan kepada keputusan yang dibuat atau memberi ruang komunikasi bagi pekerja-pekerja
secara adil dan saksama.

Mungkin disebabkan terlalu hanyut dengan kepentingan, kuasa dan kemewahan dunia, manusia boleh menjadi alpa dan sanggup menindas di antara satu sama lain. Demi perkembangan dan kepentingan sesebuah organisasi, persekitaran pekerjaan yang sihat perlu diwujudkan bagi menjamin kesejahteraan semua pekerja supaya lebih bersemangat dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Dengan perkembangan teknologi dan pemikiran yang semakin canggih, mungkin sudah tiba masa untuk bertindak dalam mengenal pasti dan mengubah suasana yang tidak sihat ini. Akhir kata, sudah tiba masanya manusia akhir zaman ini untuk kembali kepada fitrah manusia yang dicipta oleh Allah sebagai hamba untuk melakukan kebaikan untuk saham akhirat, dan mengelakkan keburukan bagi mendapatkan keredhaan Allah. Hanya dengan cara ini, perkembangan dan pencapaian sesebuah organisasi dapat dilakukan secara optimum di samping mewujudkan rasa setia kepada organisasi dan rasa gembira di tempat kerja.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Program Komunikasi di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia Nilai, Negeri Sembilan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast