Mohamed Shafie BP Mammal

KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya pihak sektor swasta melakukan kenaikan dan pelarasan gaji untuk pekerja masing-masing susulan pelarasan gaji 1.6 juta penjawat awam yang diumumkan kerajaan semalam.

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) berkata, semua pihak sedia maklum majoriti pekerja sektor swasta tidak dan belum menikmati pelarasan gaji selepas pandemik Covid-19.

Ia kerana, kebanyakan majikan menggunakan pelbagai alasan untuk tidak berbuat demikian, dakwa Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal.

Menurutnya, memandangkan gaji merupakan satu komponen penting dalam kehidupan kerja setiap pekerja, di semua peringkat dan sektor, kadar upah dan gaji yang sesuai dan sewajarnya mengikut perkembangan semasa dilaksanakan demi kepentingan kesemua penting.

“UNI-MLC sektor swasta akan mengambil maklum akan nasihat kedua-dua Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia. Oleh itu, kami melihat sudah sampai masanya pihak sektor swasta akan melakukan tindakan konstruktif untuk memastikan adanya kenaikan dan pelarasan gaji untuk pekerja masing-masing.

“Langkah itu sudah pasti akan menaikkan semangat untuk para pekerja untuk bekerja dengan lebih baik, seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai kadar pencen, UNI-MLC juga berharap Kerajaan Perpaduan akan akan menyelesaikan isu pencen sangat rendah yang diterima oleh pesara-pesara syarikat milik kerajaan (GLC)  yang telah diswastakan pada tahun 1980-an.

Jelasnya, UNI-MLC telah mengetengahkan isu ini kepada kerajaan sejak dua dekad lalu, tetapi sehingga kini tidak ada penyelesaian positif bagi menanganinya.

Untuk rekod, setakat ini, UNI-MLC telah membawa perkara ini untuk perhatian lima orang perdana menteri tetapi masih belum ada jalan penyelesaian.

“Walaupun memorandum demi memorandum telah dihantar kepada kerajaan, namun tiada respons daripada kerajaan mahupun Kementerian Kewangan.

”UNI-MLC agak kecewa kerana perkara ini tidak menemui jalan penyelesaian meskipun pelbagai usaha telah dilakukan termasuk membawa ke perhatian ramai Perdana Menteri dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Memandangkan pelarasan gaji telah diumumkan semalam, UNI-MLC meletakkan harapan agar perdana menteri akan mengambil satu pendekatan positif dan konkrit bagi menyelesaikan isu kadar pencen rendah yang kini diterima oleh pesara-pesara agensi kerajaan yang diswastakan,” ujarnya.

Mohamed Shafie menambah, pihaknya berpandangan para pesara ini seolah-olah sedang dianaktirikan dan tidak diberikan perhatian yang sewajarnya dalam menjaga kebajikan sedangkan mereka juga telah banyak menyumbang kepada negara selaku modal insan penting dalam proses pembinaan negara.

Pesara-pesara yang menerima pencen rendah dengan kenaikan 2% setiap tahun kini hidup di bawah paras kemiskinan dan ia menjadi satu daripada masalah sosial dan ekonomi.

“Rata-rata pesara perkhidmatan GLC menerima pencen serendah RM180 sebulan.

“Keadaan menjadi lebih parah dan teruk dengan kenaikan kos sara hidup sejak kebelakangan ini. Pesara-pesara terbabit kini tergolong dalam kategori B40,” tambahnya sambil merayu perdana menteri melihat perkara ini dalam pelaksanaan pelarasan gaji kali ini, sekali gus membawa penyelesaian positif selaras dengan dasar Malaysia Madani,” kata beliau lagi. – MalaysiaGazette