GOMBAK – Seorang wanita tampil mengadu kepada polis dia telah dicederakan dan diugut oleh majikannya iaitu seorang pelakon wanita dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Batu Caves, pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohd Nasir berkata, aduan yang diterima lebih kurang 5.25 petang 14 Ogos lalu, mangsa mendakwa telah dicederakan dan diugut oleh majikan di Batu Caves.
Pengadu, 28 tahun, bekerja sebagai pembantu peribadi kepada seorang pelakon wanita warga tempatan (suspek) berusia 32 tahun.
“Pengadu telah dicederakan dan diugut menggunakan senjata oleh majikan bersama sepupu majikannya yang juga seorang wanita tempatan berusia 30 tahun semasa berada di pejabat majikan,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Tambah beliau, siasatan polis mendapati insiden serangan itu dikatakan berlaku kerana pengadu mencampuri urusan rumah tangga majikannya (pelakon wanita).
Akibat serangan itu, pengadu telah mengalami kecederaan di bahagian muka dan lengannya.
“Pengadu kemudian pergi mendapatkan rawatan di Hospital Selayang untuk kecederaan yang dialaminya.
Polis sedang menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta agar tampil membantu siasatan polis dan juga boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Sarjan Shahreen Yasin di talian 018-2475864 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222.-MalaysiaGazette