KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani diumumkan secara rasmi menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri selepas menewaskan calon Bersatu mewakili Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail malam ini.

Pengumuman rasmi dibuat di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri, Nik Raisnan Daud pukul 9.40 malam.

Mohd Azmawi Fikri menang dengan memperoleh 9,091 undi manakala pencabarnya, Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.

Ini sekaligus menunjukkan Mohd Azmawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan itu menang dengan majoriti 3,352 undi.

Keputusan rasmi itu diperoleh selepas kiraan semua 46 saluran peti undi di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan sebanyak 135 kertas undi ditolak.

BN menang 17 daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM), manakala PN pula hanya menguasai tiga PDM. – MalaysiaGazette