Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

GUA MUSANG – Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo terpaksa campur tangan menyuraikan kekecohan yang ditimbulkan penyokong parti di pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Sungai Asap.

Insiden yang berlaku kira-kira pukul 9.50 pagi itu berlaku apabila penyokong kedua-dua parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri cuba meraih undi daripada pengundi.

Polis pada mulanya telah meminta penyokong terbabit untuk bersurai bagaimanapun permintaan tersebut tidak diendahkan oleh kedua-dua parti.

Tindakan penyokong telah menyebabkan berlaku kesesakan lalu-lintas kerana kenderaan terpaksa bergerak perlahan disebabkan kehadiran peraih undi di kiri dan kanan jalan.

Tindakan pantas Choon Foo dan anggota polis yang bertugas berjaya meleraikan penyokong dan meminta mereka untuk beredar ke khemah masing-masing.

PRK DUN Nenggiri membabitkan seramai 20,259 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon Perikatan Nasional Mohd Rizwadi Ismail.- MalaysiaGazette